JELEBU – Projek menaik taraf sistem saliran di kawasan sawah padi Kampung Sungai Buloh yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dijangka mampu meningkatkan hasil pengeluaran padi sekali gus menambah pendapatan pesawah dan petani di kawasan itu.
Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Anthony Loke Siew Fook berkata, Kampung Sungai Buloh merupakan antara kawasan sawah padi penting bukan sahaja bagi daerah Jelebu, malah turut menyumbang kepada pengeluaran padi di Negeri Sembilan.
Menurutnya, sektor pertanian di kampung berkenaan menjadi sumber pendapatan utama penduduk yang kebanyakannya bekerja sebagai pesawah dan petani.
"Saya amat menghargai perhatian daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan terhadap Kampung Sungai Buloh kerana kawasan ini memang penting sebagai kawasan sawah padi.
"Dengan bantuan menaik taraf sistem saliran, kita berharap hasil sawah akan terus berkembang dan meningkat sekali gus dapat menambah pendapatan pesawah serta petani di sini," katanya kepada Sinar Harian selepas Program Ramah Mesra Santai Minum Petang bersama Pengusaha Pertanian Jelebu pada Khamis.
Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Dalam ucapannya, beliau memaklumkan projek menaik taraf sistem saliran di Kampung Sungai Buloh membabitkan peruntukan RM12 juta di bawah RMK13.
Sebagai rekod, di Jelebu di bawah Skim Sawah Padi Triang Ilir menerusi pemerkasaan kelestarian sawah negeri melibatkan kawasan seluas 209 hektar dengan 193 hektar dikenal pasti untuk tujuan penanaman secara aktif membabitkan 100 petani.
Menerusi skim itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut memperuntukan RM1 juta bagi kerja-kerja meratakan sawah dan pembekalan input pertanian, yang dilaksanakan dari Disember 2025 hingga April 2026 dengan sasaran meningkatkan hasil padi kepada lima hingga enam tan semusim.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, peruntukan tersebut bukanlah pengumuman baharu, sebaliknya telah dimasukkan dalam perancangan RMK13 dan hanya dimaklumkan semula kepada penduduk.
"Projek ini sebenarnya telah pun ada dalam perancangan RMK13. Mungkin ada pesawah dan petani yang belum mengetahui mengenainya, sebab itu ia dimaklumkan semula oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan," katanya.
Beliau turut memuji kegigihan pesawah di Kampung Sungai Buloh yang disifatkan tidak pernah berputus asa walaupun berdepan pelbagai cabaran seperti kemarau dan banjir yang menjejaskan hasil tanaman.
"Selama 13 tahun saya di sini, saya melihat pesawah dan petani di Sungai Buloh mempunyai semangat yang tinggi.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, mereka tetap mengusahakan sawah tanpa henti," katanya.
Dalam pada itu, Anthony berkata, kawasan sawah yang luas serta pemandangan bendang yang menarik turut memberi nilai tambah kepada Kampung Sungai Buloh sebagai destinasi pelancongan luar bandar.
Menurutnya, pembangunan sektor sawah padi bukan sahaja memberi manfaat kepada pesawah, malah turut merancakkan industri homestay dan eko pelancongan sekali gus membuka peluang pendapatan tambahan kepada penduduk kampung.
Terdahulu, Anthony Loke bersama Mohamad menghadiri program sembang santai dan minum petang bersama masyarakat DUN Chennah sebelum mengadakan lawatan ke sawah padi di Kampung Sungai Buloh.
ADVERTORIAL