TANGKAK – Polis menafikan dakwaan dan spekulasi tidak benar berhubung video tular memaparkan seorang lelaki dipercayai berkelakuan tidak waras di sebuah stesen minyak di Jalan Payamas di sini.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, hasil semakan mendapati kejadian itu membabitkan seorang lelaki yang mempunyai masalah kesihatan dan bukannya seperti dakwaan yang tersebar di media sosial.
Beliau berkata, video berkenaan yang dimuat naik menerusi akaun media sosial memaparkan seorang lelaki berpakaian baju kerja syarikat kontraktor pembersihan dalam keadaan tidak waras.
“Semakan mendapati kejadian dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak Jalan Payamas, Tangkak dan mangsa berusia 30-an dipercayai mempunyai masalah kesihatan.
“Ahli keluarga mangsa juga telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Tangkak pada 23 Julai bagi menafikan sebarang andaian dan spekulasi yang tidak betul,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Roslan berkata, pihaknya turut mendapati mangsa mempunyai kad OKU (orang kelainan upaya) dan masih mempunyai rekod rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian itu.
“Sekiranya terdapat sebarang kejadian yang melibatkan keselamatan atau ketenteraman awam, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak di talian 06-978 5222,” katanya.
Sebelum itu, tular video berdurasi 35 saat memaparkan seorang penunggang motosikal rebah di sebuah stesen minyak di sini.
Bagaimanapun, ahli keluarga tampil menjelaskan individu berkenaan dikatakan mengalami sawan kerana terlewat mengambil ubat.
Menurut kenyataan yang dikongsikan di media sosial, mereka menafikan dakwaan bahawa mangsa berada di bawah pengaruh alkohol atau bahan terlarang dan memohon orang ramai agar tidak membuat tuduhan.