SEGAMAT – Seramai 2,300 pelajar dari 135 sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di Johor serta Melaka berentap dalam Malaysia Techlympics 2026 Peringkat Zon Selatan bagi merebut tempat ke pentas akhir kebangsaan.
Pertandingan anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) itu berlangsung selama dua hari di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), Segamat bermula 22 Julai lalu, dengan mengetengahkan cabaran berasaskan kecerdasan buatan (AI), robotik, dron, kejuruteraan dan inovasi.
Ketua Setiausaha Mosti, Datuk Dr K Nagulendran berkata, Malaysia Techlympics menjadi platform penting dalam memupuk minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi pendekatan pertandingan yang interaktif serta menyeronokkan.
Menurutnya, program itu bukan sahaja mengasah kemahiran teknikal peserta, malah membentuk pemikiran kritis, kreativiti, kebolehan menyelesaikan masalah serta budaya inovasi dalam kalangan pelajar dan belia.
“Matlamat utama Malaysia Techlympics ialah membudayakan sains, teknologi dan inovasi melalui pendekatan praktikal, pembelajaran berasaskan pengalaman serta pertandingan yang terbuka kepada pelajar dan belia daripada pelbagai peringkat umur, jantina dan kaum,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan pertandingan di sini pada Khamis.
Beliau berkata, edisi kali ini turut memperkenalkan dua pertandingan baharu berasaskan AI iaitu AI Vibe Coding Drone dan Cabaran FC-1 Vibe AI sejajar dengan perkembangan teknologi global.
Katanya, pengenalan cabaran berkenaan bertujuan memberi pendedahan awal kepada peserta mengenai penggunaan AI yang semakin meluas dalam sektor perniagaan, industri dan pembangunan teknologi negara.
Selain AI, peserta turut menguji kebolehan dalam bidang robotik, pengekodan, pengkomputeran, dron dan kejuruteraan menerusi pertandingan berasaskan penyelesaian masalah sebenar.
Nagulendran berkata, semua peserta yang layak akan bersaing merebut tiket ke Peringkat Akhir Kebangsaan Malaysia Techlympics 2026 yang dijadualkan berlangsung di MAEPS, Serdang, Selangor pada November depan.
“Mosti komited memperkasa pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dengan menyediakan lebih banyak platform yang mampu mencungkil bakat baharu dalam bidang teknologi dan inovasi,” katanya.