​Kerjasama PN, BN bukan wayang politik - Abdul Hadi

Iklan
Abdul Hadi ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila pada Jumaat.

​MARANG – Kerjasama serta persefahaman yang terjalin antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bukanlah wayang politik atau sekadar rekaan semata-mata.

​Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, dakwaan atau persepsi dilemparkan sesetengah pihak terhadap hubungan itu adalah tidak berasas memandangkan kedua-dua parti memberikan komitmen penuh dari segi tenaga dan kewangan sepanjang tempoh kempen.

Iklan
Iklan

Abdul Hadi berkata demikian mengulas persepsi sesetengah pihak yang mempertikaikan keikhlasan kerjasama antara jentera kedua-dua gabungan berkenaan di peringkat akar umbi.

Sebelum ini, PN melengkapkan kerjasama dengan BN apabila mengumumkan 11 calon gabungan itu yang akan bertanding pada PRN Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos depan.

Iklan

Pengumuman berkenaan melengkapkan keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas BN sebelum itu mengumumkan 25 calon.

Mengulas perkembangan kempen gabungan berkenaan, Abdul Hadi berkata, hubungan serta kesepakatan antara jentera parti berada pada tahap yang sangat baik.

Iklan

Katanya, siri ceramah kelompok dan gabungan bersama juga telah mula dianjurkan di pelbagai peringkat, sekali gus membuktikan kesepakatan tersebut berjalan secara nyata.

​"Sangat baik dan sudah ada ceramah bersama. Insya-ALLAH saya juga akan turun menjayakan siri ceramah berkenaan minggu ini," jelasnya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, perselisihan pandangan atau fasa hubungan 'kahwin cerai' yang pernah berlaku antara Pas dan UMNO sebelum ini adalah perkara biasa dalam politik.

Menurutnya, perselisihan tersebut hanya membabitkan perkara cabang dan bukan melibatkan soal dasar perjuangan kedua-dua parti.

"Itu biasa. Biasa berlaku khilaf (perselisihan pandangan). Pertandingan dalam perkara cabang, bukannya dasar. Dari segi dasar, tidak ada khilaf antara Pas dengan UMNO. Pas berasaskan Islam, UMNO berasaskan Melayu. Melayu dengan Islam ini tidak berpisah.

"Orang-orang Siam, orang Cina masuk Islam, (orang kata) masuk Melayu. India masuk Islam, masuk Melayu. Melayu itu Islam. Kita berbeza dari segi pendekatan sahaja, bukannya dasar," tambah beliau.

Ditanya sejauh mana beliau menilai hala tuju dan kebolehtahanan hubungan antara dua parti itu bagi tempoh jangka masa panjang, Abdul Hadi berharap ia akan berterusan demi rakyat dan negara.

"Kita harap panjang kali ini, insya-ALLAH, untuk menyelamatkan negara," katanya.