Guna semut sebagai hiasan pencuci mulut, restoran dua bintang Michelin didakwa

Iklan
Restoran dua bintang Michelin di Seoul berdepan pendakwaan selepas didakwa menggunakan semut import sebagai hiasan pencuci mulut.

SEOUL - Pemilik sebuah restoran bertaraf dua bintang Michelin di Seoul, Korea Selatan berdepan tindakan pendakwaan selepas didakwa menggunakan semut yang diimport dari Thailand dan Amerika Syarikat (AS) sebagai hiasan dalam hidangan pencuci mulut.

Menurut Kementerian Keselamatan Makanan dan Dadah Korea Selatan, pihak berkuasa mula mengesan penggunaan bahan berkenaan selepas melihat gambar pencuci mulut yang dihiasi semut dimuat naik di media sosial.

Iklan
Iklan

Hasil siasatan kemudian membawa kepada pengenalpastian restoran terbabit, namun nama premis dan lokasi tepatnya tidak didedahkan kepada umum.

Peraturan makanan Korea Selatan ketika ini hanya membenarkan 10 spesies serangga untuk digunakan dalam produk makanan komersial, termasuk belalang dan cengkerik.

Iklan

Sebelum sesuatu spesies serangga diluluskan untuk kegunaan makanan, ia perlu melalui penilaian meliputi aspek keselamatan makanan, tahap toksik, nilai pemakanan serta piawaian kebersihan dalam proses penternakan dan pemprosesan.

Pendakwa raya mendakwa pemilik restoran itu mengimport produk berasaskan semut dari Thailand dan AS sejak 2021 sebelum menggunakannya sebagai hiasan pada sorbet serta beberapa pencuci mulut lain selama hampir empat tahun.

Iklan

Sepanjang tempoh berkenaan, restoran itu didakwa telah menghidangkan lebih 12,200 hidangan sorbet yang dihiasi semut, sekali gus menjana pendapatan kira-kira 120 juta won (sekitar RM370,000).

Pihak pendakwaan turut mendakwa kira-kira 49,000 ekor semut digunakan dalam penyediaan hidangan tersebut.

Pihak berkuasa juga mendakwa sampel semut berkenaan mengandungi paras logam berat sehingga 55 kali lebih tinggi berbanding spesies serangga yang telah diluluskan untuk dimakan.

Keadaan itu mencetuskan kebimbangan terhadap aspek keselamatan makanan dan menjadi antara alasan tindakan undang-undang diambil terhadap pemilik restoran terbabit.