Dua bentuk daratan seakan pulau dikesan berhampiran Anak Krakatau

Iklan
Dua bentuk daratan kecil menyerupai pulau dikesan di barat laut dan tenggara gunung berapi Anak Krakatau di Selat Sunda antara Jawa dan Sumatera, susulan letusan berterusan awal bulan ini. Foto: DetikNews

JAKARTA - Dua bentuk daratan kecil menyerupai pulau dikesan di barat laut dan tenggara gunung berapi Anak Krakatau di Selat Sunda antara Jawa dan Sumatera, susulan letusan berterusan awal bulan ini.

Ketua Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), Siti Sumilah Rita Susilawati berkata, kedua-dua bentuk daratan itu dikesan menerusi imej satelit Sentinel dan dipercayai terbentuk akibat aktiviti letusan yang berterusan selama kira-kira 25 jam dari 4 hingga 6 Sept.

Iklan
Iklan

"Tafsiran awal kami menunjukkan magma cair yang dikeluarkan ketika letusan itu sampai ke permukaan menerusi bukaan yang memanjang dari barat laut ke tenggara.

"Bahan letusan kemudian membentuk daratan di lokasi lain yang kelihatan seperti pulau,” kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Siti Sumilah menjelaskan penemuan itu masih berdasarkan penilaian awal dan perlu disahkan menerusi pemeriksaan di lapangan.

Beliau berkata, PVMBG akan membandingkan imej satelit sebelum dan selepas letusan serta melakukan pemeriksaan di lokasi bagi mengesahkan pembentukan berkenaan.

Iklan

Selain dua bentuk daratan itu, imej satelit turut menunjukkan kawasan daratan Anak Krakatau bertambah kira-kira 32.8 hektar di bahagian barat laut, barat dan barat daya akibat mendapan bahan piroklastik serta aliran lava daripada letusan sama.

Tahap amaran Anak Krakatau, yang letusannya menyebabkan beberapa lapangan terbang ditutup sementara awal bulan ini, diturunkan daripada Tahap III kepada Tahap II pada 21 Sept susulan penurunan aktiviti gunung berapi.

Tahap III merupakan tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran gunung berapi empat peringkat Indonesia.

Susulan tahap amaran semasa, Rita menggesa orang ramai supaya bertenang dan berada sekurang-kurangnya dua kilometer dari pusat letusan serta satu kilometer dari dua bentuk daratan baharu itu. - Bernama