WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis berkata, perjanjian nuklear dengan Arab Saudi bergantung kepada pengiktirafan kerajaan itu terhadap Israel, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan terhadap perjanjian berkenaan hanya sehari selepas ia dimeterai.
Syarat yang dilihat sebagai baharu itu dikenakan walaupun Riyadh sejak sekian lama enggan menyertai Perjanjian Abraham dengan Israel dan tetap bertegas bahawa sebarang hubungan diplomatik perlu disertakan dengan laluan ke arah penubuhan sebuah negara Palestin.
Perkara itu tidak disebut dalam perjanjian nuklear awam yang diumumkan pada Rabu, yang sebelum ini dilihat sebagai satu kemenangan besar buat Arab Saudi ketika Trump meneruskan tekanan terhadap Iran berhubung program nuklearnya.
Bagaimanapun, Trump mengejutkan Riyadh menerusi hantaran di platform Truth Social miliknya apabila menyatakan perjanjian itu"akan diluluskan, tetapi tertakluk sepenuhnya kepada Arab Saudi menyertai Perjanjian Abraham yang sangat dihormati dan berjaya."
Rumah Putih menegaskan bahawa Trump sebelum ini sudah memaklumkan kepada Arab Saudi bahawa perjanjian tersebut bergantung kepada pengiktirafan terhadap Israel.
"Presiden sentiasa menjadi penentu muktamad sesuatu perjanjian. Beliau telah menyatakan bahawa jika mereka tidak menyertai Perjanjian Abraham, maka perjanjian itu terbatal," kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt kepada pemberita.
"Presiden telah membincangkan perkara ini secara langsung dengan pihak Arab Saudi dalam beberapa perbualan sebelum ini dan pentadbiran akan terus meneruskan perbincangan tersebut."
Langkah bersejarah
Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pengiktirafan oleh Arab Saudi, sebuah kuasa serantau dan penjaga dua kota paling suci umat Islam, akan menjadi satu langkah bersejarah ke arah 'keamanan' di Asia Barat.
Leavitt berkata, beliau tidak mengetahui sebarang panggilan telefon antara Trump dan Netanyahu selepas pengumuman perjanjian dengan Arab Saudi.
Setakat ini, Riyadh belum mengeluarkan sebarang reaksi.
Jika dilaksanakan, perjanjian bagi membangunkan program nuklear awam di Arab Saudi itu dijangka menjana kontrak bernilai berbilion dolar kepada syarikat-syarikat Amerika.
Namun, susulan pengumuman terbaharu Trump, masih belum pasti sama ada perjanjian itu akan benar-benar dilaksanakan.
Felo Kanan Bersekutu di Royal United Services Institute (RUSI), H A Hellyer berkata, jika Washington cuba memaksa Riyadh menormalisasikan hubungan dengan Israel, usaha itu berkemungkinan besar tidak akan berjaya.
"Adakah Arab Saudi akan mengubah pendirian secara drastik selepas apa yang diumumkannya sejak tiga atau 30 tahun lalu? Saya sangat meraguinya," katanya kepada AFP.
Pengkritik turut memberi amaran bahawa perjanjian itu berpotensi mencetuskan perlumbaan senjata nuklear di rantau yang sudah lama bergolak akibat peperangan.
Menurut laporan The Wall Street Journal, satu peruntukan dalam perjanjian itu membolehkan syarikat AS membina kemudahan pengayaan uranium di Arab Saudi.
Bagaimanapun, Jabatan Tenaga AS tidak menyebut mengenai peruntukan tersebut dan enggan mengulas apabila diminta AFP.
Trump pula dilihat menolak kemungkinan itu apabila menegaskan di Truth Social bahawa tiada sebarang pengayaan bahan!
Perjanjian itu akan dikemukakan kepada Kongres AS untuk semakan.
Sebelum ini, ahli-ahli Kongres daripada kedua-dua parti serta pegawai Israel menyuarakan bantahan terhadap projek sedemikian kerana bimbang Arab Saudi akhirnya boleh menggunakannya untuk membangunkan senjata nuklear.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, sebarang perjanjian nuklear awam yang dimeterai Washington dengan negara lain akan disertakan dengan langkah perlindungan bagi memastikan ia tidak boleh ditukar menjadi program pembangunan senjata nuklear.
Kebimbangan percambahan senjata
Riyadh, seperti Teheran, sejak sekian lama menegaskan haknya untuk membangunkan program nuklear awam. Tahun lalu, Arab Saudi turut menandatangani pakatan pertahanan bersama Pakistan yang memiliki senjata nuklear.
Pembuat dasar antarabangsa sejak dahulu bimbang sekiranya Iran berjaya menghasilkan senjata nuklear, tindakan itu akan mencetuskan perlumbaan senjata di rantau Teluk.
Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright bagaimanapun menolak kebimbangan itu dengan menegaskan bahawa perjanjian tersebut memenuhi kepentingan ekonomi dan strategik Washington serta mematuhi piawaian tertinggi keselamatan nuklear dan kawalan percambahan senjata.
Amerika Syarikat kini mempunyai perjanjian kerjasama nuklear dengan lebih 50 negara.
Dalam perkembangan berkaitan, perjanjian dengan Arab Saudi itu dimeterai ketika Riyadh dijangka semakin terheret ke dalam konflik di Asia Barat susulan kumpulan pemberontak Houthi di Yemen mula menyerang kapal-kapal di Laut Merah bagi menguatkuasakan apa yang didakwa sebagai sekatan terhadap Arab Saudi.
Trump turut berikrar akan mengambil tindakan terhadap Iran dan kumpulan Houthi sekiranya serangan tersebut berterusan.