Cheng Hoe berdepan ujian awal di Yangon

Iklan
Skuad Harimau Malaya ketika pelepasan ke Myanmar bagi menghadapi perlawanan pertama Piala ASEAN 2026 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis. Foto: Bernama

CABARAN pertama Tan Cheng Hoe sebagai pengendali interim Harimau Malaya hadir dalam keadaan serba mencabar apabila skuad negara berdepan beberapa kekangan menjelang aksi pembukaan Piala ASEAN 2026 menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, Sabtu ini.

Terbaharu, Cheng Hoe terpaksa membuat pelarasan selepas pemain tengah, Zhafri Yahya tidak bersama rombongan skuad kebangsaan yang berlepas ke Yangon pada Khamis.

Iklan
Iklan

Ketiadaan pemain Kuala Lumpur (KL) City itu menyaksikan hanya 25 pemain dibawa untuk menghadapi kempen Kumpulan B, sekali gus menuntut Cheng Hoe memanfaatkan sepenuhnya barisan yang ada.

Bagaimanapun, skuad negara masih memiliki beberapa pilihan di bahagian tengah bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Zhafri, termasuk pemain yang sudah dipanggil menyertai kem latihan sebelum ini.

Iklan

Situasi itu menambah cabaran buat Cheng Hoe yang dilantik pada 25 Jun lalu, terutama dalam tempoh persiapan singkat sebelum saingan bermula.

Lebih mencabar, Piala ASEAN 2026 berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), menyebabkan beberapa pemain berdepan kekangan untuk dilepaskan kelab masing-masing, ketika pasukan Liga Super baru memulakan latihan pramusim.

Iklan

Namun, Cheng Hoe perlu segera mencari formula terbaik bagi memastikan Harimau Malaya tampil kompetitif ketika membuka kempen menentang Myanmar, sebelum meneruskan cabaran bertemu Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 28 Julai.

Selepas itu, skuad negara dijadual berdepan Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 1 Ogos sebelum melengkapkan aksi Kumpulan B menentang Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 8 Ogos.