KETIKA Presiden Donald Trump melancarkan perang agresif terhadap Iran pada 28 Februari lalu, beliau menegaskan Amerika Syarikat (AS) akan mencapai kemenangan mutlak dalam beberapa minggu sahaja.
Pemimpin Republikan itu turut memperlekehkan kritikan beberapa pihak yang mendakwa tindakan itu bercanggah dengan janji kempen beliau untuk tidak memulakan konflik baharu dan menamatkan legasi perang berpanjangan Amerika di Afghanistan dan Iraq.
Tindakan Trump mengundang persoalan terhadap janji pernah dibuat pada November 2024 kepada rakyat AS yang sudah lelah dengan peperangan. Beliau berikrar tidak akan memulakan konflik baharu sepanjang penggal kedua pemerintahannya.
Tetapi, janji tinggal janji. AS kini berdepan risiko terheret dalam satu lagi konflik berpanjangan dengan Iran.
Trump menggunakan kematian anggota tentera AS untuk memperhebat kempen pencerobohan ke atas Teheran. Kenyataan itu secara tidak langsung menyukarkan usaha untuk meredakan konflik, sekali gus meletakkan Washington dalam kitaran serangan balas dan peningkatan ketegangan yang sukar dihentikan.
Sehingga kini, Trump belum mempunyai strategi jelas untuk menukar kekuatan ketenteraan AS kepada penyelesaian politik yang berkekalan. Sejak hampir lima bulan lalu, skop rundingan dan dasar Washington terhadap Teheran banyak bergantung kepada perubahan pendirian dan emosi tidak menentu Trump.
Pemimpin Iran pula lebih berani kerana mereka memiliki ‘senjata’ yang mungkin lebih berkesan daripada peluru berpandu dan dron iaitu keupayaan mengawal Selat Hormuz.
Teheran juga mempunyai taktik lain untuk mengganggu pasaran tenaga termasuk menyasarkan kemudahan minyak dan gas di negara-negara Teluk.
Kesemua senario ini berkemungkinan menyebabkan harga tenaga melonjak dan boleh mencetuskan kemelesetan ekonomi global. Persoalannya kini, adakah Trump bakal mencipta satu lagi perang yang sukar dihentikan?
Tanpa strategi keluar yang jelas dan berkesan, konflik yang pada awalnya digambarkan sebagai operasi singkat boleh berubah menjadi perang berpanjangan yang menelan kos besar.
Trump kini berdepan risiko meninggalkan satu lagi legasi perang dalam sejarah Amerika berpunca daripada keputusan melulu pentadbirannya sendiri.