SERI KEMBANGAN - Sebuah kedai barangan perkakasan berhampiran Pasar Borong Selangor di sini musnah dalam satu kebakaran yang bermula kira-kira 11 malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar ketika dihubungi Bernama berkata, setakat ini, pihaknya giat menjalankan kerja-kerja pemadaman.
Beliau berkata, api semakin marak dan mula merebak ke beberapa premis berhampiran, menyebabkan jentera tambahan terpaksa digerakkan ke lokasi kejadian.
Tinjauan Bernama di lokasi mendapati, anggota bomba sedang giat menjalankan operasi pemadaman dengan menggerakkan sekurang-kurangnya tiga jentera ke tempat kejadian.
Selain itu, beberapa individu dipercayai pemilik dan pekerja premis berhampiran bertindak mengalihkan stok barangan masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.
Operasi pemadaman dilaporkan agak sukar berikutan terdapat sejumlah tong gas yang disimpan di dalam premis berkenaan, yang dikhuatiri boleh mencetuskan letupan.- Bernama