Polis tahan lelaki cuba samun van keselamatan, rampas semula senjata api

Iklan
Laporan Sinar Harian sebelum ini mengenai kes samun van keselamatan dan melarikan senjata api di hadapan sebuah bank di Bukit Tinggi, Klang, Isnin lepas.

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kejadian cubaan samun van keselamatan dan melarikan senjata api di hadapan sebuah bank di Bukit Tinggi, Klang, Isnin lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, suspek warga tempatan berusia lingkungan 20-an itu ditahan di Shah Alam, Selangor pada 11 pagi tadi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, dalam kejadian 20 Julai itu, suspek dipercayai cuba menyamun kenderaan syarikat keselamatan yang sedang membawa wang tunai sebelum bertindak merampas senapang jenis 'pump gun' milik pengawal keselamatan dan melarikan diri menaiki motosikal. 

"Turut dirampas ialah sepucuk pistol pelepas olahraga jenama Ekol Lite bersama 48 butir peluru blank," katanya dalam kenyataan malam Khamis. 

Iklan

Kumar berkata, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960. 

Katanya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan. 

Iklan

Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali. 

"Permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat di hadapan mahkamah esok," katanya.- Bernama