20 pasukan layak ke separuh akhir Kejohanan Tarian Singa Kebangsaan Ke-21 2026

Iklan
Spencer ( kanan) ketika Majlis Cabutan Undi Peringkat Separuh Akhir di Wisma Genting, Kuala Lumpur.

SHAH ALAM - Persaingan memburu gelaran pasukan tarian singa terbaik negara semakin sengit apabila 20 pasukan terpilih ke peringkat separuh akhir Kejohanan Tarian Singa Kebangsaan Malaysia Ke-21 2026 yang akan diadakan di Arena of Stars pada 26 September ini.

Bagaimanapun, hanya 10 pasukan terbaik akan mara ke pusingan akhir pada 27 September 2026 untuk merebut gelaran juara kebangsaan.

Iklan
Iklan

Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Resorts World Genting (RWG), Spencer Lee berkata, kejohanan ini terus menjadi platform penting dalam mengetengahkan bakat-bakat tarian singa negara.

Menurutnya, dalam masa sama ia juga dapat memartabatkan warisan budaya yang telah sekian lama menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat Malaysia.

Iklan

"Kejohanan ini bukan sekadar sebuah pertandingan, malah merupakan platform untuk mengenal pasti pasukan tarian singa terbaik negara yang menghimpunkan bakat, disiplin, tradisi dan inovasi.

"Setiap persembahan mencerminkan dedikasi, pengorbanan dan semangat yang telah dipupuk selama bertahun-tahun.

Iklan

Kejohanan ini menawarkan hadiah wang tunai yang lumayan untuk dibawa pulang pemenang.

"Kami menantikan pasukan yang akan dinobatkan sebagai juara kebangsaan dan seterusnya menggalas cabaran Malaysia di pentas dunia dengan matlamat merangkul trofi berprestij Kejohanan Dunia Tarian Singa Genting pada tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Cabutan Undi Peringkat Separuh Akhir di Wisma Genting, di sini, hari ini.

Edisi tahun ini menerima penyertaan yang amat menggalakkan apabila sebanyak 88 pasukan dari seluruh negara mengambil bahagian dalam pusingan kelayakan zon yang berlangsung pada Jun 2026.

Tambah Spencer, kejohanan ini menawarkan hadiah wang tunai yang lumayan untuk dibawa pulang pemenang.

Jelasnya, juara kebangsaan akan membawa pulang wang tunai RM20,000, diikuti RM12,000 bagi naib juara dan RM9,000 bagi tempat ketiga, masing-masing berserta trofi dan pingat.

"Tujuh pasukan finalis yang lain akan menerima RM3,000 setiap satu, manakala semua pasukan yang layak ke peringkat separuh akhir akan menerima RM2,000.

"Selain itu, Anugerah Aksi Paling Sukar bernilai RM3,000 turut ditawarkan kepada pasukan yang mempamerkan aksi teknikal paling cemerlang pada peringkat separuh akhir berdasarkan penilaian panel hakim rasmi," ujarnya.

Beliau memberitahu, sejak diperkenalkan, Kejohanan Tarian Singa Kebangsaan Malaysia telah berkembang menjadi acara ikonik yang sentiasa mendapat penyertaan memberangsangkan serta sokongan padu daripada para peserta dan penonton.

"Ia mencerminkan komitmen berterusan RWG dalam memperkasakan sukan budaya serta menyediakan platform berprestij bagi memastikan seni persembahan tradisional terus berkembang di peringkat kebangsaan," ulasnya.

Tiket bagi pusingan separuh akhir dan akhir Kejohanan Tarian Singa Kebangsaan Malaysia Ke-21 2026 kini mula dijual.