SHAH ALAM - Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji sepatutnya didedahkan kepada umum seawal tahun 2023 lagi apabila ia mula-mula disiapkan.
Presiden Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa, tindakan melambat-lambatkan pendedahan laporan itu sebelum ini dipercayai berpunca daripada sikap berhati-hati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menjaga hati UMNO, sehingga keputusan dibuat untuk 'menanam' laporan tersebut pada ketika itu.
"Apabila sesuatu Suruhanjaya Diraja dibuat, hasil siasatan sepatutnya didedahkan kepada orang ramai kerana hanya isu-isu nasional yang melibatkan kepentingan awam yang disiasat.
"Laporan RCI Tabung Haji adalah terperinci dan saya yakin ia akan menunjukkan bagaimana institusi itu rosak di bawah pentadbiran UMNO," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Rafizi berkata demikian mengulas bayangan yang diberikan Perdana Menteri bahawa laporan RCI berkenaan bakal didedahkan dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, beliau mendakwa keputusan mendedahkan laporan berkenaan dibuat dengan cepat hanya selepas beliau kembali bersuara dari luar sebagai pengkritik.
"Saya lebih gembira kalau ia didedahkan dengan niat untuk membawa kebenaran seawal 2023 lagi, namun saya berdoa biarlah ada pengajaran kepada rakyat Malaysia dari episod ini," jelasnya.
Dalam kenyataan sama, Rafizi turut menarik perhatian umum mengenai latar belakang timbulnya isu laporan RCI berkenaan secara tiba-tiba, yang mana beliau pernah bangkitkan dalam ceramah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dua minggu lalu bagi memberi pemahaman tentang risiko kompromi politik yang bertentangan dengan kepentingan awam.
Beliau mendakwa penyelewengan di dalam Tabung Haji berlaku sepanjang lebih sedekad akibat kelemahan tadbir urus di bawah Barisan Nasional (BN), yang kemudiannya 'disucikan' oleh Pas atas nama perpaduan ummah.
"Biarpun Tabung Haji telah diselamatkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2019, rakyat perlu menanggung harga yang sangat tinggi melibatkan puluhan bilion ringgit wang cukai bagi menanggung kerugian pelaburan berkenaan," katanya.
Beliau menambah, Tabung Haji dijangka mengambil masa berdekad lagi untuk kembali kukuh, sementara hutang berpuluh bilion itu perlu ditanggung oleh rakyat sekurang-kurangnya bagi tempoh sedekad yang akan datang.