ALOR GAJAH – Seorang pekerja kontrak warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tujuh pelajar lelaki sebuah sekolah berasrama di daerah ini pada Jun lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Islam Mohammad Shoriful, 44, selepas kesemua tujuh pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa Bangladesh di hadapan Hakim Kamarul Aris Kamalluddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pelbagai perbuatan amang seksual fizikal terhadap pelajar berusia antara 13 hingga 15 tahun, seperti memegang tangan, menyentuh punggung dan kemaluan mangsa.
Tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan menarik seluar beberapa mangsa sehingga mendedahkan bahagian punggungnya.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan pada 12 Jun 2026, sekitar jam 6 petang dan 6.30 petang, di kawasan bilik mandi dan basuh asrama lelaki sekolah berasrama di daerah ini.
Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat jika disabitkan kesalahan.
Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif, yang memohon supaya tiada jaminan diberikan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 Ogos 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.