Sinar Harian sedia jadi pentas debat PRN Negeri Sembilan

Iklan
Jalaluddin (kiri) dan Aminuddin.

SHAH ALAM - Sinar Harian bersedia menjadi platform atau pentas bagi penganjuran debat mahupun dialog terbuka membabitkan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sekiranya terdapat kesepakatan antara pihak berkaitan.

Sebagai media yang membawa aspirasi ‘Suara Rakyat’, Sinar Harian sentiasa komited menyediakan ruang perbincangan yang seimbang dan profesional bagi membolehkan calon mengetengahkan pendirian, tawaran serta pandangan masing-masing kepada rakyat.

Iklan
Iklan

Akhbar ini melihat debat atau dialog politik sebagai satu medium penting dalam membina wacana politik yang matang kerana ia memberi peluang kepada rakyat menilai hujah, idea serta keupayaan calon menjawab persoalan berkaitan kepentingan mereka secara terbuka.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias terdahulu dilaporkan, tidak keberatan menerima pelawaan debat daripada pihak lawan termasuk Datuk Seri Aminuddin Harun, sekiranya dicabar.

Iklan

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri Pertang itu berkata, walaupun partinya tidak bercadang memulakan cabaran debat terbuka, beliau bersedia membahaskan sebarang isu jika pelawaan dikemukakan.

Kesediaan itu menarik perhatian berikutan Jalaluddin mengetuai UMNO-BN negeri yang sebelum ini mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Aminuddin, calon Menteri Besar Pakatan Harapan (PH).

Iklan

Sementara itu Aminuddin menerusi respons pada Khamis menyatakan akan meneliti terlebih dahulu cadangan serta topik debat terbuka sekiranya menerima pelawaan daripada pihak lawan.

Calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi itu berkata, sebarang debat perlu mempunyai skop dan hala tuju yang jelas.

Pada 7 Julai lalu, Sinar Harian bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro Awani menjadi penganjur bersama Dialog PRN Johor yang menampilkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik secara solo.

Sebelum itu, Sinar Harian pernah beberapa kali menganjurkan debat antara pemimpin utama negara yang antaranya mempertemukan Datuk Seri Najib Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dengan Datuk Seri Azeez Rahim dan Datuk Seri Rafizi Ramli dengan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.