SHAH ALAM - Anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Nooryana Najwa tidak dapat menahan sebak setiap kali memperingati tarikh 23 Julai yang merupakan hari lahir bapanya.
Nooryana Najwa atau Yana berkata, Najib mengajarnya tentang erti sebenar ketabahan meskipun bekas Ahli Parlimen Pekan itu sendiri berdepan ujian hebat ketika ini.
Yana turut menyifatkan bapanya sebagai individu yang pemurah, positif dan kuat semangat walaupun sedang bersiap sedia menjalani prosedur perubatan berkaitan jantung.
"Keimanannya tidak pernah goyah. Sesungguhnya bersama kesabaran, akan datanglah kekuatan.
"Saya sentiasa menjadi penyokong terbesar Daddy. Kami semua akan terus memberikan semangat dan tidak pernah putus harapan yang satu hari nanti kita bakal dipertemukan semula.
"Selamat hari lahir Daddy. Kami menyayangi Daddy selama-lamanya," katanya menerusi hantaran di Instagram pada Khamis.
Anak perempuan kepada Datin Seri Rosmah Mansor itu dalam masa sama mendoakan bapanya yang kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang supaya dikurniakan kesihatan dan dilindungi ALLAH SWT.
Yana turut memuat naik gambar dirinya berada di pekarangan Penjara Kajang menerusi 'insta story' dengan kapsyen 'Happy Birthday Daddy'.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, Najib dijadual menjalani satu prosedur perubatan bagi membuang plak yang dikesan berhampiran saluran darah.
Rosmah memaklumkan, keluarga mereka amat menghargai keprihatinan dan doa yang dizahirkan oleh sahabat handai, rakan-rakan serta penyokong Najib susulan keadaan kesihatannya.
Beliau turut memohon orang ramai agar terus mendoakan supaya segala urusan dan prosedur perubatan yang bakal dijalani bekas Perdana Menteri itu berjalan lancar.