KUALA PILAH - Projek Bengkel Kraftangan Sejati MADANI di Kampung Sungai Talan, Juasseh, di sini berjaya menjana pendapatan kasar sebanyak RM110,000 dalam tempoh kira-kira 15 bulan sejak mula beroperasi pada Februari 2025, sekali gus melepasi nilai peruntukan awal RM100,000 yang diterima menerusi Program Sejati MADANI.
Kejayaan itu membuktikan inisiatif pembangunan komuniti yang dilaksanakan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Talan berjaya mewujudkan peluang ekonomi kepada penduduk.
Apa yang lebih menarik, keuntungan projek tidak hanya dinikmati oleh individu yang mengendalikan bengkel kerana sebahagian manfaat disalurkan semula kepada masyarakat Kampung Sungai Talan bagi tujuan kebajikan dan pembangunan.
Pengerusi JPKK Kampung Sungai Talan merangkap Ketua Projek, Husaini Harun berkata, projek berasaskan jahitan, kraftangan dan penghasilan produk menggunakan teknologi pemotongan laser serta mesin CNC router itu kini menerima tempahan daripada pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan, masjid, surau dan orang ramai.
Menurutnya, dalam tempoh operasi sehingga Jun lalu, bengkel berkenaan mencatat purata pendapatan sekitar RM7,000 sebulan melalui penghasilan pelbagai produk seperti cenderamata, plak, rantai kunci, pingat, papan tanda dan mihrab untuk masjid serta surau.
"Sebagai Pengerusi JPKK Kampung Sungai Talan, saya amat berbangga dan berpuas hati dengan peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Perpaduan. Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu-satunya Perdana Menteri yang menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 secara terus kepada JPKK kampung kami bagi melaksanakan projek yang keuntungannya disalurkan semula untuk manfaat dan kebajikan seluruh komuniti.
"Kejayaan awal ini akan kami susuli dengan beberapa perancangan jangka panjang termasuk memperluaskan pemasaran melalui media sosial, katalog digital serta kerjasama dengan agensi kerajaan, sekolah, universiti dan syarikat swasta," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Hussaini dibantu oleh Norazizan Borhan sebagai pereka, Hasmalita Ghani sebagai setiausaha, Rusmawati Harun sebagai bendahari serta anggota pasukan, Hanif Abdullah dan Roslan Hamad.
Melalui peruntukan tersebut, katanya, JPKK melengkapkan bengkel dengan pelbagai peralatan moden termasuk mesin pemotong laser bersama pemampat udara bernilai kira-kira RM10,000 dan mesin CNC router Axia bernilai hampir RM38,000 bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran produk.
"Antara projek utama yang berjaya disiapkan ialah pembinaan mihrab Masjid Kampung Sungai Talan menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta mihrab Masjid Kampung Terentang melalui Kampung Angkat MADANI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.
Beliau berkata, selain menerima tempahan cenderamata daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Negeri Sembilan, bengkel itu turut menghasilkan pelbagai produk untuk sekolah, institusi, badan kerajaan dan komuniti setempat.
Projek berkenaan turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk dan belia kampung apabila mereka dipanggil membantu proses pengeluaran ketika menerima tempahan dalam jumlah besar.
"Bagi projek pembinaan mihrab, kerja reka bentuk mampu menjana pendapatan antara RM4,000 hingga RM6,000, manakala kerja pembinaan dan pemasangan memberikan pendapatan sekitar RM3,000 hingga RM4,000 kepada pekerja yang terlibat," katanya.
Selain menjana ekonomi, katanya, sebahagian keuntungan projek digunakan bagi membantu kebajikan penduduk termasuk memberi sumbangan kepada keluarga yang ditimpa musibah, pesakit yang dimasukkan ke hospital serta pelajar yang memperoleh keputusan akademik cemerlang.
"Dana itu juga dimanfaatkan untuk menyediakan lampu solar di laluan gelap, padang futsal dan kawasan masjid, selain membina papan tanda kampung serta menyokong pelbagai program komuniti dan aktiviti belia," katanya.
Program ini juga pernah menyumbang kepada pelaksanaan aktiviti seperti Negeri Sembilan Seven Wonders Challenge 3.0. Cenderamata turut disediakan kepada penduduk kampung sebagai tanda penghargaan dan usaha membina rasa kebersamaan
Kejayaan Program Sejati MADANI Kampung Sungai Talan dilihat sebagai contoh bagaimana peruntukan pembangunan yang diurus secara sistematik mampu mewujudkan ekosistem ekonomi komuniti yang mampan, sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.