Malaysia sasar 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050

Iklan
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (tiga dari kiri) pada Majlis Pelancaran Projek Solar Berskala Besar di Serongga di sini pada Khamis.

PASIR MAS – Kerajaan menetapkan sasaran meningkatkan kapasiti Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada 35 peratus menjelang 2030 dan dipertingkatkan kepada 70 peratus pada 2050 sebagai langkah memperkukuh agenda peralihan tenaga negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sasaran itu selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi memastikan sektor tenaga negara lebih mampan, berdaya saing dan rendah karbon.

Iklan
Iklan

Menurut beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Malaysia sebelum ini mencapai sasaran 31 peratus kapasiti terpasang TBB sehingga Disember tahun lalu, manakala sehingga Jun tahun ini, jumlah kapasiti terpasang di negara ini hampir mencecah 32 peratus.

“Melalui NETR, kerajaan sudah menggariskan hala tuju yang jelas bagi mentransformasikan sektor tenaga negara.

Iklan

“Peralihan tenaga bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan keperluan strategik bagi menjamin keselamatan tenaga negara, memperkukuh daya tahan ekonomi, menarik pelaburan berkualiti tinggi serta memenuhi komitmen Malaysia terhadap agenda perubahan iklim global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Solar Berskala Besar di Serongga di sini pada Khamis.

Iklan

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Pengerusi Samaiden Legasi Timur Sdn Bhd, Datuk Mohd Anis Hisham Abd Aziz.

Mengulas projek itu, Fadillah berkata, pembangunan solar berskala besar berkenaan membuktikan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Kelantan dan sektor swasta dalam mempercepatkan agenda peralihan tenaga negara.

Katanya, projek berkenaan melibatkan pembangunan oleh Samaiden Legasi Timur berkapasiti 99.99 megawatt dan GVU Fajar Timur berkapasiti 27.60MW.

Selain menyumbang kepada bekalan elektrik negara, beliau berkata, projek itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan, merangsang ekonomi setempat, memperkukuh pembangunan industri sokongan serta memberi limpahan manfaat kepada komuniti di Pasir Mas dan Kelantan.

“Saya percaya Kelantan berpotensi untuk meningkatkan lagi kapasiti tenaga boleh baharu khususnya tenaga solar bagi tujuan penjanaan elektrik.

“Dengan keluasan tanah yang sesuai, sokongan kerajaan negeri dan penyertaan sektor swasta, negeri ini mampu memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda peralihan tenaga negara,” katanya.

Beliau turut menggalakkan orang ramai memanfaatkan Program Peralihan Tenaga Solar yang Diperkukuhkan (Solar ATAP) yang disediakan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dengan memperluaskan pemasangan panel solar di bumbung rumah, masjid, rumah ibadat dan premis komersial bagi meningkatkan penggunaan tenaga bersih di seluruh negara.