SHAH ALAM – Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) memperkukuhkan komitmennya terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi kerjasama strategik bersama Rasuah Busters dan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) bagi membudayakan integriti serta meningkatkan kesedaran antirasuah dalam kalangan generasi muda.
Ketua Komunikasi Korporat & CSR KHSB, Mahizun Saidin berkata, inisiatif itu merupakan usaha awal untuk mempersiapkan mahasiswa sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan khususnya dalam sektor korporat yang menuntut tahap profesionalisme, akauntabiliti dan integriti yang tinggi.
Menurutnya, program tersebut bukan sekadar memberi pendedahan mengenai definisi rasuah malah bertujuan membentuk nilai dan prinsip yang akan menjadi benteng kepada golongan muda apabila berhadapan dengan cabaran dunia pekerjaan.
"Kerjasama strategik ini merupakan sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat KHSB. Bersama Rasuah Busters dan PSA, kita mahu memperkasakan budaya integriti dalam kalangan generasi muda, khususnya mahasiswa yang bakal memasuki dunia korporat.
"Objektif utama program ini untuk menyemai kesedaran mengenai bahaya rasuah sejak di bangku pengajian agar mahasiswa memahami bahawa integriti merupakan aset paling berharga dalam membina kerjaya dan kehidupan.
"Kita mahu mereka mengenali apa itu rasuah, memahami kesan buruknya kepada individu, organisasi dan negara, serta membentuk sikap yang berani menolak dan menjauhi sebarang bentuk salah guna kuasa," katanya kepada Rasuah Busters baru-baru ini.
Menurut Mahizun, pendedahan awal amat penting kerana mahasiswa hari ini merupakan bakal tenaga kerja, pemimpin dan pembuat keputusan pada masa hadapan.
Ujarnya, usaha membina masyarakat bebas rasuah memerlukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi pendidikan dan pertubuhan masyarakat sivil.
"Apabila mereka memasuki sektor korporat nanti, kita berharap mereka sudah mempunyai prinsip yang kukuh, memahami nilai integriti dan tidak mudah terpengaruh dengan budaya yang bercanggah dengan etika," katanya.
Sehubungan itu, KHSB berharap kerjasama bersama Rasuah Busters tidak terhenti di PSA sahaja malah dapat diperluaskan ke lebih banyak institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
Jelasnya, pendidikan integriti perlu diperkasakan secara berterusan kerana mahasiswa hari ini ialah pemimpin dan profesional yang akan mencorakkan masa depan negara.
Beliau percaya pelaburan dalam pendidikan integriti merupakan langkah strategik bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik dan profesional, malah memiliki keberanian moral untuk menolak rasuah serta mempertahankan amanah dalam setiap tanggungjawab yang dipikul.
Menurutnya, usaha membina budaya integriti perlu bermula sebelum seseorang memasuki alam pekerjaan kerana nilai yang diterapkan sejak awal akan menjadi asas kepada pembentukan organisasi yang lebih telus, beretika dan bebas daripada rasuah pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Akademik PSA, Dr Ahmad Aftas Azman berkata, kerjasama tersebut menjadi satu nilai tambah kepada usaha institusi itu yang sememangnya menjadikan integriti sebagai agenda tahunan.
"Hasil perbincangan antara KHSB, Rasuah Busters dan PSA, kita telah mencapai persetujuan untuk melaksanakan program berkaitan antirasuah di politeknik ini pada 20 Ogos depan. Program tersebut dijangka melibatkan kira-kira 600 peserta," katanya.
Ujar beliau, PSA sememangnya menganjurkan pelbagai program sempena Bulan Integriti setiap tahun termasuk kerjasama bersama agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Rasuah Busters dan rakan strategik korporat seperti KHSB dilihat mampu memberi dimensi baharu kepada pendekatan pendidikan integriti.
"Program berkaitan integriti dan antirasuah memang telah menjadi sebahagian daripada aktiviti tahunan di PSA. Sebelum ini kita banyak bekerjasama dengan SPRM, tetapi kali ini kerjasama bersama KHSB dan Rasuah Busters pastinya memberi nilai tambah kepada usaha yang telah kita laksanakan.
"Kami amat berbesar hati dan menerima kerjasama ini dengan tangan terbuka. Ini menunjukkan usaha membanteras rasuah memerlukan sokongan pelbagai pihak, bukan hanya institusi pendidikan atau agensi penguat kuasa semata-mata," katanya.
Beliau berharap program tersebut bukan sekadar memberi pendedahan mengenai definisi dan bentuk-bentuk rasuah, malah mampu membina kefahaman yang lebih mendalam tentang tanggungjawab setiap individu dalam mencegah gejala berkenaan.
"Harapan saya, peserta yang dipilih nanti akan mengikuti program ini dengan bersungguh-sungguh. Mereka bukan sahaja akan lebih memahami apakah itu rasuah dan bagaimana ia boleh dicegah, malah menjadi lebih peka terhadap risiko salah laku serta lebih bertanggungjawab dalam setiap tindakan," katanya.
Menurut beliau, usaha memupuk integriti dalam kalangan pelajar merupakan pelaburan jangka panjang bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal, malah berpegang teguh kepada nilai amanah, etika dan profesionalisme apabila memasuki alam pekerjaan.