SEREMBAN - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak sikap pihak tertentu yang terlalu ghairah merebut jawatan menteri besar.
Beliau berkata, perkara utama dalam pilihan raya ialah mereka yang dipilih rakyat perlulah mampu meneruskan pentadbiran kerajaan negeri dengan baik dan menjaga kepentingan rakyat keseluruhan.
"Sebab itu jangan bagi mereka berebut, sebaliknya berikan mandat kepada pimpinan PH yang terbukti fokus bekerja untuk rakyat," kata beliau ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perpaduan di Taman Sri Penaga, Sikamat di sini malam ini.
Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, calon PH DUN Sikamat, Nor Azman Mohamad dan calon PH DUN Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim.
Perdana Menteri berkata, pengundi di Negeri Sembilan wajar mengekalkan Aminuddin sebagai Menteri Besar berikutan rekod cemerlang beliau dalam menerajui pentadbiran kerajaan negeri dengan bebas daripada amalan rasuah dan penyelewengan.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Presiden PKR menyelar naratif politik perkauman dimainkan sesetengah pihak semasa kempen pilihan raya demi meraih sokongan pengundi.
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan sentiasa bersikap adil dan inklusif dengan membantu seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, merangkumi penambahan peruntukan sosioekonomi, perumahan serta pelarasan gaji penjawat awam.
Pada PRN kali ini, PH bertanding di kesemua 36 kerusi DUN membabitkan 16 calon PKR, 11 calon mewakili DAP dan sembilan calon Amanah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh pengundian PRN Negeri Sembilan, manakala undi awal pada 28 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9. - Bernama