Exco Agama Johor nafi dakwaan Puad Zarkashi, beri tempoh 24 jam mohon maaf

Iklan
Mohd Fared (kiri) dan Mohd Puad.

JOHOR BAHRU - Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khaled menuntut bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi memohon maaf dan menurunkan hantaran dalam Facebook yang didakwa memfitnah dirinya.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah itu, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan beliau dengan isu tatakelola, kronisme dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), melibatkan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).

Iklan
Iklan

Beliau berasa sedih dan dukacita apabila namanya dikaitkan dalam dakwaan yang dibangkitkan oleh bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, dakwaan yang mengaitkan dirinya selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam perkara itu adalah satu tohmahan jahat dan fitnah yang tidak bertanggungjawab.

Iklan

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa dakwaan yang mengaitkan saya adalah satu tohmahan jahat dan fitnah yang tidak bertanggungjawab oleh Datuk Dr Mohd Puad.

“Saya langsung tidak terlibat dalam sebarang siasatan yang telah dijalankan oleh pihak SPRM sebagaimana yang didakwa berlaku.

Iklan

"Malahan saya juga telah melepasi saringan SPRM sebelum dipilih semula bertanding sebagai calon DUN Semerah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu,” katanya.

Terdahulu, Dr Mohd Puad menerusi hantaran di Facebook mempersoalkan status siasatan SPRM terhadap KUIJSI yang didakwa melibatkan isu tatakelola dan kronisme serta mengaitkan nama Mohd Fared yang ketika itu berperanan sebagai Pengerusi Mesyuarat Lembaga Pengarah MARSAH Sdn Bhd.

Dalam hantaran itu, Mohd Puad turut meminta Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjelaskan perkembangan siasatan berkenaan dan menggesa agar tiada usaha menutup kebenaran.

Mengulas lanjut, Mohd Fared berkata beliau percaya Mohd Puad sepatutnya membuat semakan dan penelitian terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan reputasi pihak lain.

Beliau turut mengingatkan mengenai tuntutan Islam supaya menyelidik sesuatu berita sebelum mempercayai atau menyebarkannya bagi mengelakkan kezaliman terhadap individu yang tidak bersalah.

Sehubungan itu, Mohd Fared menuntut Mohd Puad menarik balik kenyataan berkenaan, memohon maaf secara rasmi dan menurunkan hantaran terbabit dalam tempoh 24 jam.

“Permohonan maaf hendaklah dibuat secara rasmi dalam semua platform media agar dapat dibaca dan difahami awam akan niat dan maksudnya.

“Kegagalan Datuk Dr Mohd Puad berbuat demikian, satu prosiding guaman saman fitnah akan saya mulakan terhadap beliau bagi membersihkan nama baik saya daripada tohmahan jahat dan fitnah tidak bertanggungjawab tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap isu itu dapat diselesaikan secara baik serta menjadi contoh bahawa perbezaan pandangan tidak seharusnya mengabaikan adab dan akhlak.