Dipaksa kerja tanpa gaji, wanita Sri Lanka didera majikan

Iklan
Antara warga asing yang ditahan JIM pada Selasa.

PUTRAJAYA - Seorang lelaki warga Sri Lanka diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas disyaki mengeksploitasi seorang wanita senegaranya sebagai buruh paksa dalam operasi di tiga lokasi sekitar Jenjarom, Selangor pada Selasa.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan hasil aduan awam dan risikan yang dijalankan oleh Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) serta AMLA.

Iklan
Iklan

"Operasi itu turut membawa kepada penyelamatan seorang wanita warga Sri Lanka yang dikenal pasti sebagai mangsa eksploitasi buruh paksa.

Zakaria berkata, mangsa dipercayai dipaksa bekerja tanpa menerima gaji, tidak diberikan makanan yang mencukupi, dikawal pergerakannya serta mengalami kekerasan fizikal sebagai bentuk ugutan dan intimidasi.

Iklan

"Enam lagi warga Sri Lanka berusia antara 21 hingga 51 tahun turut ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah," katanya.

Seorang pekerja warga asing diselamatkan JIM.

Iklan

Beliau berkata, mangsa dikenal pasti berdasarkan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang 2.0 (NGHTI 2.0), manakala permohonan Perintah Perlindungan Interim (IPO) telah dibuat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

"Siasatan mendapati suspek yang memegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (PLS) melalui perkahwinan dengan seorang warga Malaysia disiasat mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM serta Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Zakaria berkata, JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk eksploitasi pekerja dan pemerdagangan orang.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat,” katanya.