SHAH ALAM - Seorang petugas syarikat keselamatan meninggal dunia ketika proses merekod keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bagi membantu siasatan kes cubaan samun wang tunai RM82,000 di hadapan sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi, Klang pada Isnin lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, mangsa merupakan lelaki warga tempatan berusia 43 tahun yang bertugas sebagai pemandu van keselamatan.
"Saya sahkan maklumat (kematian) tersebut, memang ada salah seorang petugas sekuriti ketika temu bual di IPD Klang Selatan di sebelah malam (Isnin), mangsa telah rebah dan pengsan.
"Mangsa yang juga pemandu van sekuriti terbabit telah dibawa menaiki ambulans ke hospital dan disahkan meninggal dunia," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Rabu.
Beliau berkata, bedah siasat terhadap mangsa telah dijalankan pada Selasa dan mendapati punca kematian adalah disebabkan masalah jantung.
Dimaklumkan, mangsa bukan petugas syarikat keselamatan yang tular dalam rakaman video berada di luar van terbabit ketika insiden jenayah itu berlaku.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang Isnin, wang tunai RM82,000 berjaya diselamatkan selepas pekerja syarikat keselamatan bertindak pantas memasukkan wang berkenaan ke dalam van ketika cubaan samun berlaku.
Kejadian berlaku ketika pekerja syarikat keselamatan itu sedang melakukan proses pemindahan wang dari bank ke dalam van.
Suspek yang gagal melarikan wang tunai telah merampas sepucuk senjata api jenis pump gun milik petugas keselamatan itu sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal jenis Yamaha.
Dalam perkembangan sama, Shazeli berkata, polis telah memperoleh beberapa petunjuk positif berkaitan suspek yang terlibat dalam kes berkenaan.
"Sekiranya ada tangkapan dan kejayaan kita akan kongsikan," ujarnya.