GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menasihati pemilik kediaman, khususnya banglo dan rumah mewah, yang ingin disewakan supaya membuat semakan latar belakang terhadap bakal penyewa bagi mengelakkan premis mereka dijadikan pusat operasi sindiket penipuan atau scam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, pemilik rumah juga disaran mendapatkan maklumat terperinci mengenai bakal penyewa termasuk membuat semakan melalui ejen hartanah sebelum bersetuju menyewakan premis masing-masing.
“Kita minta semua pemilik rumah yang hendak menyewakan kediaman supaya membuat semakan latar belakang terhadap bakal penyewa.
"Jika menggunakan ejen, pastikan maklumat penyewa turut disemak. Jangan menerima sesiapa sahaja untuk menyewa tanpa membuat pemeriksaan terlebih dahulu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada Rabu.
Mengulas sama ada kesemua sindiket yang ditumpaskan mempunyai kaitan antara satu sama lain, Dennis berkata, setakat ini siasatan tidak menemukan sebarang bukti yang menunjukkan semua kumpulan terbabit mempunyai hubungan.
Bagaimanapun, katanya, polis tidak menolak kemungkinan mereka mempunyai kaitan memandangkan hasil risikan mendapati sindiket berkenaan dipercayai hanya beroperasi di Pulau Pinang sejak satu hingga dua bulan lalu.
“Setakat ini, kita tidak nampak terdapat hubungan antara mereka, namun ia masih dalam siasatan. Berdasarkan risikan, mereka dipercayai mula beroperasi di sini kira-kira satu hingga dua bulan lalu.
“Dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, Polis Bukit Aman turut menjalankan operasi besar-besaran terhadap sindiket penipuan. Jadi, ada kemungkinan mereka berpindah ke Pulau Pinang, namun perkara itu masih disiasat,” katanya.
Tambahnya, polis juga belum dapat mengesahkan sama ada kumpulan terbabit berpindah dari Lembah Klang ke Pulau Pinang kerana siasatan masih dijalankan.
Mengulas kemungkinan Pulau Pinang menjadi sasaran sindiket berikutan pertumbuhan pesat pembangunan kediaman mewah di negeri itu, beliau berkata, perkara tersebut tidak boleh ditolak.
Menurutnya, penjenayah lazimnya memilih kawasan perumahan mewah kerana menyangka lokasi sedemikian lebih selamat untuk menjalankan kegiatan mereka tanpa menimbulkan syak.
“Itu satu kemungkinan. Jika kita membuat andaian, penjenayah juga akan mencari kawasan yang mewah kerana beranggapan faktor keselamatan atau kawalan di kawasan berkenaan boleh menjadi pelindung kepada kegiatan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak polis tidak dapat menganggarkan jumlah kerugian lima pusat operasi penipuan yang berjaya dibongkar kerana semua mangsa dipercayai berada di luar negara.
Katanya, keadaan itu menyebabkan tiada laporan polis atau pengadu di Malaysia, sekali gus menyukarkan pihak berkuasa mengesan nilai kerugian sebenar serta aliran transaksi kewangan.
“Semua pusat operasi ini menyasarkan mangsa di luar negara. Mereka beroperasi di Malaysia tetapi mangsanya berada di negara lain.
"Jadi, kita tidak mempunyai pengadu atau mangsa di negara ini dan nilai kerugian juga belum dapat dipastikan. Bagaimanapun, siasatan termasuk meneliti transaksi kewangan sedang dijalankan,” katanya.
Dennis berkata, polis turut bekerjasama dengan pihak berkuasa negara yang terlibat menerusi mekanisme perundangan antarabangsa bagi mengenal pasti sama ada suspek yang ditahan dikehendaki di negara asal masing-masing.
“Polis Pulau Pinang telah memaklumkan kepada negara-negara yang berkaitan dan meminta mereka menyemak sama ada suspek yang ditahan merupakan individu yang dikehendaki di negara masing-masing.
"Jika terdapat bukti, kita akan menggunakan saluran undang-undang antarabangsa yang bersesuaian.
“Pada masa sama, semua suspek turut disiasat mengikut Akta Imigresen bagi menentukan sama ada mereka tidak memiliki permit yang sah atau menyalahgunakan permit yang dimiliki ketika berada di negara ini,” katanya.