TAWAU - Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki mencuri pakaian dalam wanita yang dijemur di ampaian dalam kejadian di Kampung Haji Matahir di sini.
Lelaki berusia 20-an itu dipercayai melakukan kegiatan berkenaan pada awal bulan ini selepas mangsa menyedari beberapa helai pakaian isterinya yang dijemur di luar rumah telah hilang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, susulan kejadian itu, mangsa berusia 47 tahun bertindak membuat laporan di Balai Polis Bombalai untuk tindakan lanjut.
Katanya, bertindak atas laporan tersebut polis, pihaknya menjalankan risikan dan siasatan sebelum berjaya menahan suspek kira-kira jam 10.30 malam Selasa.
"Hasil soal siasat awal, suspek menunjukkan lokasi barang kes sebelum polis menemui dan merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan di dalam rumahnya serta di kawasan semak berhampiran.
"Rampasan membabitkan beberapa helai pakaian dalam wanita, selain sehelai baju berwarna hijau dan songkok hitam yang dipercayai dipakai suspek ketika melakukan perbuatan itu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, suspek yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan kediaman masing-masing.
"Salurkan segera maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang perlakuan mencurigakan bagi membantu usaha dalam membanteras jenayah," katanya.