Dua lelaki mengaku salah rompak kedai runcit guna parang

Iklan
Tertuduh ketika dihadapkan di Mahkamah Setiu pada Rabu atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan dan bersenjata membabitkan sebuah kedai runcit di daerah Besut.

​SETIU - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan dan bersenjata membabitkan sebuah kedai runcit di daerah Besut.

​Tertuduh, Muhammad Aidil Adhar Ruzi, 24, berasal dari Kuala Besut, dan Mohd Noorhermie Mazuki, 35, dari Rantau Abang, Dungun, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud.

Iklan
Iklan

​Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan sebilah parang dan melarikan wang tunai berjumlah kira-kira RM500 di sebuah kedai runcit terletak di Jalan Gertak Seratus, Besut.

​Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan kira-kira jam 1.54 pagi, pada 29 Jun lalu.

Iklan

​Bagi pertuduhan tersebut, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.

Mahkamah menetapkan 28 Julai ini sebagai tarikh bagi prosiding pembacaan fakta kes dan hukuman ke atas kedua-dua tertuduh.

​Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, suspek didakwa melakukan tindakan sama dengan merompak secara berkumpulan menggunakan sebilah parang serta mengambil wang tunai berjumlah kira-kira RM800 di Jalan Pengkalan Nyireh, Besut.

Iklan

​Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 7 Julai lalu kira-kira jam 12.24 tengah malam.

​Bagi kesalahan kedua ini, kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.

​Pendakwaan bagi kes berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Akmal Mohd. Jazlee, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

​Mahkamah kemudian menetapkan 28 Julai ini sebagai tarikh bagi prosiding pembacaan fakta kes dan hukuman ke atas kedua-dua tertuduh.