SHAH ALAM - Usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming mengambil tindakan undang-undang susulan dakwaan kebocoran data peribadinya dengan membuat empat laporan kepada pihak berkuasa serta menghantar surat tuntutan (LOD) kepada sebuah syarikat telekomunikasi.
Menerusi hantaran di platform Threads pada Rabu, beliau memaklumkan peguamnya telah menghantar LOD kepada Maxis selain membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Khairul Aming berkata, laporan polis turut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap individu yang dipercayai terlibat.
Menurutnya, laporan berhubung dakwaan kebocoran data peribadi turut dikemukakan kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).
Sebelum ini, Khairul Aming mempersoalkan bagaimana maklumat berkaitan bil telefon peribadinya boleh diketahui pihak lain sehingga didedahkan secara terbuka di media sosial.
Menerusi hantaran di platform Threads, beliau meminta penjelasan daripada pihak syarikat telekomunikasi berhubung dakwaan kebocoran maklumat bil telefon peribadinya yang dikaitkan dengan seorang pengguna media sosial.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Ini data peribadi saya' - Khairul Aming persoal kebocoran bil telefon di Threads
Maxis kenal pasti individu insiden kebocoran maklumat Khairul Aming
Data peribadi Khairul Aming bocor: JPDP buka siasatan
Data peribadi bocor: Khairul Aming buat empat laporan, hantar LOD kepada Maxis
Fahmi arah MCMC siasat dakwaan kebocoran data Khairul Aming
Sinar Harian sebelum ini turut melaporkan Maxis mengenal pasti individu dikaitkan dengan insiden akses tanpa kebenaran terhadap butiran akaun seorang pelanggan yang tular di media sosial sejak Isnin.
Syarikat telekomunikasi dalam satu kenyatan berkata, tindakan segera sedang diambil terhadap individu berkenaan.
Mengulas lanjut, Khairul Aming berkata, kes berkenaan akan dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan peguamnya sehingga selesai.
"Peguam-peguam saya akan mengambil alih kes ini sehingga selesai, sejujurnya saya rasa sedih dan seram kerana semudah itu sahaja privasi hidup boleh hilang.
"Butiran telefon, sejarah pembayaran, rekod langganan sehingga nombor kad pengenalan yang boleh mengakses MySara, semuanya bocor," katanya.