Selepas didakwa rogol anak sulung, koperal polis didakwa amang seksual anak usia 11 tahun

Iklan
Seorang anggota polis berpangkat koperal sekali lagi dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membabitkan anak kandungnya apabila didakwa melakukan amang seksual.

AMPANG – Seorang anggota polis berpangkat koperal sekali lagi dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membabitkan anak kandungnya apabila didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan ketiganya yang ketika kejadian berusia 11 tahun 10 bulan.

Tertuduh berusia 35 tahun itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang pada Rabu selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.

Iklan
Iklan

Kes baharu itu muncul ketika lelaki terbabit sebelum ini turut berdepan pertuduhan di Mahkamah Kuala Kubu Bharu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana didakwa merogol anak sulungnya yang ketika kejadian berusia 18 tahun.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh yang kini digantung tugas didakwa sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah sebagai bapa kandung telah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak ketiganya bagi tujuan seksual.

Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kuala Kubu Bharu, Rawang antara jam 9 malam hingga 10 malam pada 21 Mei dan kira-kira jam 2 petang pada 22 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama serta dibaca bersama Seksyen 16(1) akta berkenaan.

Iklan

Jika sabit kesalahan, Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, manakala Seksyen 16(1) memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun serta tidak kurang dua sebatan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Beliau memaklumkan tertuduh sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Kuala Kubu Bharu atas pertuduhan merogol anak sulungnya.

Menurutnya, selepas dibebaskan dengan ikat jamin dalam kes tersebut, ahli keluarga mangsa membuat aduan bahawa tertuduh telah mengganggu remaja berkenaan.

"Justeru, pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan kerana bimbang dia akan mencari mangsa," katanya.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Azim Hilmi Aziz yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya diberikan ikat jamin dengan alasan pertuduhan di Kuala Kubu Bharu melibatkan kes yang berbeza.

Beliau berkata, tertuduh tidak lagi tinggal bersama kedua-dua mangsa dan bersedia mematuhi sebarang syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah.

Menurutnya lagi, tertuduh kini menerima rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak dan memerlukan ubat yang dipreskripsikan.

Pihak pendakwaan kemudian mencadangkan supaya tertuduh ditempatkan di hospital berkenaan bagi memudahkan pemantauan terhadap keadaan kesihatannya, namun cadangan itu tidak dipersetujui pihak pembelaan.

Muhammad Azim Hilmi turut memaklumkan ibu tertuduh bersedia menyediakan wang ikat jamin serta memastikan kehadiran anaknya di mahkamah.

Namun selepas dimaklumkan ibu tertuduh tinggal di Ipoh, Perak manakala tertuduh beralamat di Kuala Kubu Bharu, mahkamah menolak permohonan ikat jamin.

Hakim Norshila berkata, ibu tertuduh tidak tinggal bersama lelaki itu dan sukar untuk menjamin kehadirannya ke mahkamah selain mengambil kira aduan gangguan terhadap mangsa yang dikemukakan keluarga.

Mahkamah memutuskan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin buat masa ini sehingga pihak pembelaan mengemukakan penjamin yang benar-benar dapat memastikan kehadirannya ke mahkamah serta mematuhi syarat tidak mengganggu mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Ogos depan untuk serahan dokumen berkaitan status penjamin, jika ada.