Sentuh hak Sabah, kerajaan Persekutuan mesti minta persetujuan - Madius

Iklan
Madius (kanan) bersama Jonistin semasa menghadiri sidang DUN Sabah.

KOTA KINABALU - Kerajaan Persekutuan diingatkan supaya mendapatkan persetujuan daripada kerajaan Sabah bagi mana-mana perkara yang menyentuh hak dan kuasa autonomi negeri itu.

Perkara itu ditegaskan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tamparuli) ketika mempersoalkan sama ada kerajaan negeri telah memberikan persetujuan (consent) sebelum Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (AKPS) dibentangkan dan diluluskan di Parlimen.

Iklan
Iklan

Madius berkata, sekiranya tiada persetujuan diberikan, beliau menyokong tindakan kerajaan Sabah yang menangguhkan pelaksanaan AKPS di negeri ini kerana perkara berkaitan kuasa imigresen Sabah tidak seharusnya diputuskan tanpa penglibatan kerajaan negeri.

"Jika sekiranya kerajaan negeri tidak memberi consent terhadap rang undang-undang tersebut, maka Tamparuli memang menyokong tindakan kerajaan Sabah untuk menangguhkan pelaksanaan ini," katanya semasa mengemukakan soalan tambahan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Rabu.

Iklan

Madius mendakwa, isu tersebut bukan perkara baharu kerana terdapat beberapa undang-undang sebelum ini yang menurutnya dibentangkan dan diluluskan di Parlimen tanpa persetujuan kerajaan Sabah.

Beliau turut mendakwa perkara berkenaan bertentangan dengan semangat Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan perlindungan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam perkara tertentu.

Iklan

"Itulah 'perangai' di sana saya katakan. Balik-balik dia tidak memenuhi keperluan Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan.

"Mana-mana perkara yang menyentuh hak Sabah, dia mesti minta consent, dia mesti minta persetujuan, tetapi dia tidak buat. Sebab itu saya menyokong tindakan Kerajaan Sabah dalam hal ini," katanya.

Madius turut memberikan contoh termasuk pindaan Perkara 122A Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa Yang Dipertua Negeri dalam pelantikan hakim, selain Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 dan Akta Wilayah Laut 2012 yang didakwa tidak mendapat persetujuan kerajaan negeri sebelum dibentangkan di Parlimen.

Beliau berkata, status undang-undang bagi akta-akta yang diluluskan tanpa persetujuan kerajaan Sabah perlu diperjelaskan dan pernah dibangkitkan olehnya ketika menjadi Ahli Parlimen.