JEMPOL – Membela kebajikan peneroka dan memperkasa generasi kedua Felda, khususnya dalam aspek peluang pekerjaan dan pemilikan rumah menjadi antara keutamaan Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting, Yaacob Mahmood.
Yaacob berkata, komuniti Felda di kawasan itu memerlukan perhatian berterusan, terutama dalam usaha meningkatkan taraf pendidikan, menambah baik kemudahan asas dan memperkukuh pembangunan sosioekonomi penduduk.
Menurutnya, beliau komited membawa suara warga Felda kepada kerajaan negeri dan Persekutuan supaya setiap isu yang dibangkitkan dapat diberi perhatian dan diselesaikan.
"Dalam masa sama, pendidikan anak-anak Felda juga perlu terus diperkasakan menerusi bantuan pendidikan, kelas tuisyen, program motivasi dan latihan kemahiran," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Beliau berkata, selain memperjuangkan pembangunan ekonomi komuniti, aspek kebajikan golongan rentan termasuk warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan asnaf tidak akan dipinggirkan.
Katanya, penambahbaikan kemudahan asas seperti jalan, longkang, lampu jalan, dewan orang ramai, kemudahan sukan dan kawasan rekreasi turut menjadi antara fokus demi meningkatkan kualiti hidup penduduk.
"Saya mahu mengamalkan kepimpinan yang mudah didekati, telus dan sentiasa turun padang bagi mendengar sendiri denyut nadi rakyat supaya setiap masalah dapat ditangani bersama," katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan, Yaacob akan berdepan saingan tiga penjuru menentang penyandang daripada Perikatan Nasional (PN), Mohd Fairuz Mohd Isa dan calon Bersatu, Muhammad Noraffendy Mohd Salleh @ Affendy Salleh.