Makan kenduri, jangan lupa minta izin

Iklan
Ulama mengharamkan seseorang menghadiri dan makan di kenduri tanpa jemputan sekiranya diyakini tuan rumah tidak meredainya. Gambar hiasan

MERAK Jalanan semalam terbaca satu perkongsian di Threads daripada seorang jurugambar majlis perkahwinan yang mencuri perhatian.

Dalam perkongsian itu, dia menceritakan sepanjang bertugas merakam detik bahagia pengantin, dia turut menikmati hidangan yang disediakan di majlis berkenaan.

Iklan
Iklan

Bagi Merak Jalanan, perkara itu sebenarnya bukan sesuatu yang luar biasa. Ramai jurugambar dan juruvideo yang Merak Jalanan kenal memang dipelawa makan oleh tuan rumah, malah ada yang disuruh makan lebih awal sebelum majlis semakin sibuk.

Namun, apa yang membezakan kisah ini ialah pengakuannya bahawa dia kemudian membayar harga makanan tersebut kerana menyedari tidak dijemput atau diizinkan untuk makan. Tugasnya hanyalah merakam gambar.

Iklan

Perkongsian Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan telah menjelaskan sebelum ini bahawa ulama mengharamkan seseorang menghadiri dan makan di kenduri tanpa jemputan sekiranya diyakini tuan rumah tidak meredainya.

Pada pandangan Merak Jalanan, dalam banyak keadaan tuan rumah memang bertolak ansur dan dengan senang hati mempelawa petugas majlis menikmati hidangan. Namun, hak untuk mengizinkan tetap milik tuan rumah.

Iklan

Begitu juga buat jurugambar, juruvideo, jurusolek, pengacara majlis, kru teknikal atau sesiapa sahaja yang bertugas. Walaupun kebiasaannya dipelawa makan, jangan jadikan kebiasaan itu sebagai satu kepastian.

Lebih manis jika bertanya atau meminta izin terlebih dahulu. Jika dipelawa, makanlah dengan hati yang tenang. Jika tidak, teruskan sahaja amanah yang diberikan.

Kadangkala, satu pertanyaan ringkas bukan sahaja menjaga adab, malah memastikan setiap rezeki yang masuk benar-benar datang bersama reda daripada tuan rumah.