TAMPIN – Barisan Nasional (BN) kawasan Tampin akan memberikan sokongan penuh kepada calon Parti Wawasan Negara yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Pengerusinya, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berkata, kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) yang dimeterai ketika ini perlu diterjemahkan di peringkat akar umbi dengan mengetepikan perbezaan demi memastikan matlamat lebih besar iaitu usaha mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri dapat direalisasikan.
Menurutnya, semua jentera BN di Gemas telah diberi penjelasan mengenai hala tuju kerjasama tersebut dan bersedia membantu kemenangan calon Wawasan, Ridzuan Ahmad.
"BN akan tetap mendukung Perikatan Nasional di Gemas. Jangan fikir perkara yang sudah berlalu kerana agenda besar kita ialah mengambil alih kerajaan Negeri Sembilan," katanya ketika berucap pada program Ceramah Perdana Pengenalan Calon BN-PN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Bukit Rokan di sini pada Selasa.
Turut hadir, Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Mohd Isam berkata, kerjasama terjalin antara BN dan PN merupakan satu permulaan yang dinantikan ramai penyokong kedua-dua gabungan selepas melalui pelbagai episod politik sebelum ini.
Menurutnya, beliau berharap kepimpinan tertinggi dapat terus memperkukuhkan persefahaman tersebut supaya tiada lagi perpecahan dalam kalangan orang Melayu di samping terus memperjuangkan kepentingan semua kaum.
"Kita dahagakan persefahaman ini. Kita bukan sahaja memperjuangkan orang Melayu, tetapi juga kaum-kaum lain. Yang penting sekarang ialah menyatukan hati dan bergerak sebagai satu pasukan," katanya.
Mengulas mengenai peluang di DUN Repah melalui calon BN - MCA, Koh Kim Swee beliau berkata, penyatuan sokongan orang Melayu mampu mengubah keputusan pilihan raya memandangkan komposisi pengundi Melayu dan Cina di kawasan itu hampir seimbang.
Katanya, calon BN telah tewas empat kali berturut-turut di kerusi berkenaan, namun yakin kerjasama BN-PN mampu memberi nafas baharu untuk merampas semula kerusi tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui DUN Gemas memerlukan usaha lebih gigih daripada semua jentera bagi memastikan kemenangan calon gabungan itu.
"Suka atau tidak, kita perlu satukan hati dan bekerja kuat. Dengan semangat kerjasama ini, saya yakin kita mampu memberi saingan dan mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya.