KUANTAN - Seorang gadis yang menghidap penyakit jantung kongenital sejak lahir memerlukan bantuan RM95,756 bagi membolehkan pembedahan jantung ketiganya dilakukan di Institut Jantung Negara (IJN) pada Ogos ini.
Sharifah Ummu Shareef Syed Mohd Azizan, 19, memerlukan prosedur Transcatheter Pulmonary Valve Implantation (VENUS P-Valve Device) bagi menggantikan injap jantung yang bermasalah.
Bapanya, Syed Mohd Azizan Syed Ali, 53, berkata, kos pembedahan itu dianggarkan RM130,000, dengan subsidi RM34,244 diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala baki selebihnya masih perlu diusahakan keluarga.
"Saya hanya bekerja sebagai imam masjid dengan pendapatan sekitar RM850 dan pastinya tidak mampu menyediakan jumlah wang yang sebanyak.
"Jadi, mohon orang ramai membantu agar anak saya boleh menjalani pembedahan jantung mengikut jadual," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Syed Mohd Azizan memberitahu impian anaknya untuk menyambung pengajian hanya dapat diteruskan selepas menjalani pembedahan berkenaan.
"Doktor nasihatkan supaya Sharifah jalani pembedahan dahulu, selepas itu barulah dia sambung belajar.
"Sebab itu kemasukan ke Tingkatan Enam terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu,” katanya yang menetap di Kampung Chebong, Jerantut.
Bercerita lanjut, Syed Mohd Azizan berkata, dugaan keluarganya bertambah berat apabila tiga daripada 10 anaknya dilahirkan dengan masalah jantung.
Luahnya, selain Sharifah dua lagi anaknya turut berdepan masalah kesihatan sama dan memerlukan pemantauan serta rawatan berterusan.
"Seorang rang anak perempuan yang kini berusia 22 tahun telah menjalani pembedahan jantung pada 2020 dan keadaannya kini stabil.
"Manakala seorang lagi anak berusia 17 tahun masih menerima rawatan susulan, namun keadaan kesihatannya terkawal," katanya yang turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM600 sebulan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Sharifah Norasiah Sy Alloidin (ibu) di Bank Islam Malaysia Berhad 06055020241069.