Lelaki warga Myanmar didakwa bunuh rakan senegara

Iklan
Maung Maung dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di Kampung Tengah Telok Gong, Pelabuhan Klang, awal bulan ini. Foto Bernama

KLANG - Seorang lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di Kampung Tengah Telok Gong, Pelabuhan Klang, awal bulan ini.

Maung Maung, 32, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Myanmar oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nor Azilah Mat.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Myo Than Naing di sebuah premis di Jalan Tengah, Kampung Tengah Telok Gong, Pelabuhan Klang antara jam 9.30 malam hingga 10 malam, 5 Julai lepas.

Iklan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga disebat tidak kurang 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Inspektor Mohamad Rabiul Awal Ishak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Mahkamah menetapkan 15 September depan bagi sebutan semula kes. - Bernama