PORT DICKSON – Manifesto yang ditawarkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bukan sahaja memberi perhatian kepada golongan B40, malah turut merangkumi keperluan serta kebajikan kumpulan M40.
Calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peluasan manfaat itu penting supaya lebih ramai rakyat Negeri Sembilan dapat menikmati kesejahteraan dan pembangunan yang dirancang kerajaan negeri.
Menurutnya, antara inisiatif yang akan diperluaskan kepada golongan M40 ialah bantuan dan kemudahan dalam sektor pendidikan.
“Kalau dahulu bantuan lebih tertumpu kepada golongan B40, kali ini kita turut menjaga M40 supaya pemberian yang disediakan lebih bermakna kepada sebahagian besar rakyat Negeri Sembilan.
“Dalam aspek pendidikan misalnya, peluang dan kemudahan akan dibuka dengan lebih luas supaya lebih ramai anak-anak dapat menikmati manfaatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan mesra bersama masyarakat di Ladang Sengkang, di sini, Selasa.
Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berkata, tugas utama calon dan jentera sepanjang tempoh berkempen adalah menerangkan manifesto kepada rakyat supaya mereka memahami setiap tawaran yang dikemukakan.
Menurutnya, PH mempunyai rekod dalam melaksanakan janji kepada rakyat, termasuk manifesto yang ditawarkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 dan PRN pada 2023.
Dalam pada itu, Aminuddin menyeru semua parti dan calon supaya berkempen secara matang serta mengelakkan fitnah, politik perkauman dan eksploitasi isu agama.
Katanya, perbezaan politik tidak seharusnya merosakkan hubungan yang telah lama terbina atau menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini.
“Kita berkempen dan kita pernah berkawan. Kita pernah bertanding bersama. Kita pernah berjumpa. Dan saya rasa tidak perlu untuk berkempen secara kasar, memfitnah dengan perkara yang bukan bukan.
“Tidak perlulah menggunakan isu agama dan perkauman sehingga menambah keretakan dalam masyarakat yang hidup bersatu padu di Negeri Sembilan,” katanya.
Mengulas lawatannya ke Ladang Sengkang, Aminuddin berkata, beliau menerima beberapa aduan penduduk, khususnya berkaitan keperluan asas dan masalah harian.
Menurutnya, penduduk tidak meminta projek infrastruktur berskala besar, sebaliknya mahu masalah kecil yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka diselesaikan.
“Antara perkara yang dibangkitkan ialah masalah longkang, air memasuki rumah dan bumbung rumah bocor. Walaupun kelihatan kecil, perkara ini adalah keperluan,” katanya.
Malam semalam, PH menggariskan 10 komitmen utama menerusi manifesto bertema 'Kekal Harapan' bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 dan antara keutamaan ialah menawarkan 30,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi dan bergaji tinggi serta pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun.