MELAKA – Status orang kurang upaya (OKU) bukan alasan untuk sekadar mengharapkan bantuan, sebaliknya Mohd Norafi Mokhsin, 38, membuktikan kekurangan yang dimiliki tidak menghalangnya bangkit mengusahakan perniagaan Sambal Garing Terkulai demi kelangsungan hidup keluarganya.
Dalam keadaan kudrat yang terbatas dan bergantung kepada beg stoma, Mohd Norafi bukan sahaja menyara dirinya sendiri, malah memikul tanggungjawab menjaga bapanya yang terlantar akibat strok sejak tujuh tahun lalu serta membantu adik perempuannya yang juga OKU dan berstatus ibu tunggal.
Mohd Norafi berkata, perniagaan yang diusahakan dari kediamannya di Semabok Dalam itu bermula secara kecil-kecilan sebelum dipasarkan menerusi siaran langsung di aplikasi TikTok pada Oktober tahun lalu.
“Pada mulanya hanya lima atau enam orang yang menonton siaran langsung saya dan sambutannya agak perlahan.
“Namun selepas mendapat sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, tempahan meningkat sehingga mencecah kira-kira 80 botol,” katanya kepada pemberita.
Katanya, setiap botol sambal dihasilkan secara manual dan memerlukan ketelitian serta kesabaran kerana proses penyediaannya mengambil masa sehingga 13 jam.
Ujarnya, minggu lalu sahaja dia menyiapkan enam kuali sambal meskipun tangan kanannya sudah tidak dapat digerakkan dan akan terus berusaha selagi diberi kekuatan.
Berkongsi kisah hidupnya, Mohd Norafi berkata, beliau dilahirkan normal, namun kehidupannya berubah selepas terbabit dalam kemalangan motosikal pada 2010 sehingga menyebabkan beliau dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Katanya, selepas beberapa tahun menjalani pemulihan, beliau kembali mampu berjalan dan berlari, namun kesakitan pada tangan kanan berterusan sehingga doktor mencadangkan prosedur pembedahan Dorsal Root Entry Zone pada 2015.
“Selepas pembedahan itu, tangan kanan saya lumpuh sepenuhnya. Ketika itu saya sangat tertekan dan sukar menerima keadaan diri sehingga mendapatkan rawatan di Wad Psikiatri Hospital Melaka.
“Saya kembali bangkit selepas mengikuti sesi rehabilitasi di Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka yang membuka mata saya bahawa masih ramai individu diuji dengan cabaran yang lebih besar.
“Dari situlah saya belajar untuk reda dan bangkit semula,” katanya.
Tambahnya, idea menghasilkan sambal tercetus ketika beliau menjaga bapanya di rumah apabila masakannya sering mendapat pujian daripada ahli keluarga.
“Pada mulanya saya hanya menghasilkan sambal ikan bilis menggunakan wang simpanan sendiri.
“Alhamdulillah, kini kami mempunyai lima pilihan sambal iaitu ikan bilis, ikan masin tamban, ikan keli, tempe dan produk terbaharu, telur masin,” katanya.
Mohd Norafi berkata, beliau kini sedang dalam proses mendapatkan pensijilan halal bagi produknya sebagai langkah mengembangkan lagi perniagaan yang dibina dari bawah.
Katanya, meskipun menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) namun berpegang kepada prinsip untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada bantuan.
Dia berharap dapat membantu keluarga keluar daripada kelompok asnaf satu hari nanti dan membuktikan bahawa kekurangan diri alasan untuk berhenti mengejar kejayaan.