PRN Negeri Sembilan: Cikgu Tina cadang bantuan bulanan RM500 warga emas

Iklan
Cikgu Tina (tengah) menjelaskan manifesto yang ditawarkan kepada penduduk DUN Rahang.

SEREMBAN – Pemberian pencen bulanan sebanyak RM500 kepada warga emas berusia 65 tahun ke atas merupakan antara intipati dalam lima teras manifesto yang ditawarkan calon tunggal Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Manifesto bertemakan 'Rahang Untuk Rakyat, Pembangunan Untuk Semua' itu diumumkan oleh calon PSM Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang, S Tinagaran di sini pada Selasa.

Iklan
Iklan

Beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Tina, 49 berkata, kerajaan negeri harus menyediakan bantuan tunai bulanan kepada semua warga emas kecuali pesara kerajaan bagi membolehkan mereka mengimbangi peningkatan kos sara hidup.

"Justeru, PSM akan memperjuangkan dan merealisasikan skim pencen warga emas sebanyak RM500 sebulan kepada mereka yang berusia 65 tahun ke atas seperti mana yang dicadangkan di peringkat Persekutuan," katanya.

Iklan

Cikgu Tina (tiga dari kiri) menunjukkan manifesto yang ditawarkan kepada penduduk DUN Rahang.

Tambahnya, melihat kepada jumlah pelaburan yang masuk ke negeri ini, beliau percaya skim pencen tersebut boleh dilaksanakan.

Iklan

Selain itu, dalam manifestonya, beliau turut menyatakan komitmen untuk melaksanakan audit menyeluruh terhadap sistem perparitan dan saliran serta mewujudkan satu pelan tindakan 'hotspot' banjir bagi memastikan projek diselenggarakan.

"Saya juga akan mewujudkan pusat sehenti untuk pekerja mendapatkan nasihat dan perkhidmatan serta menawarkan nasihat percuma secara dalam talian bagi mereka yang berdepan kes di Mahkamah Perusahaan.

"Pusat pelajar bagi golongan B40 yang menyediakan pendidikan alternatif secara percuma turut akan disediakan," katanya.

Cikgu Tina berkata, beliau juga akan berusaha memansuhkan cukai jualan dan perkhidmatan (sst) bagi bayaran parkir selain menubuhkan Majlis Perundingan Rakyat untuk memantau kerja-kerja Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Ini penting kerana Rahang merupakan kawasan yang pesat membangun tetapi ramai penduduk masih menghadapi pelbagai masalah asas yang memerlukan penyelesaian segera dan berkesan," katanya.

Jelas beliau, manifesto ini bukanlah sekadar janji pilihan raya tetapi merupakan komitmennya untuk membina Rahang yang lebih adil, selamat, lestari dan mesra rakyat.