KOTA BHARU - Tiada lagi kompromi terhadap mana-mana anggota polis yang terlibat dengan rasuah, demikian amaran keras Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Menurut beliau, tindakan tegas akan diambil tanpa mengira pangkat.
Ujarnya, sejak hari pertama menerajui pasukan di negeri ini, aspek integriti dan pencegahan rasuah sentiasa menjadi penekanan utama dalam setiap mesyuarat serta perhimpunan bersama warga pasukan.
"Sejak hari pertama saya datang ke sini, saya sentiasa tekankan soal integriti dan rasuah. Bila masih ada lagi kes berlaku, pada saya tidak ada kompromi
"Saya sudah berkali-kali ingatkan dalam mesyuarat dan perhimpunan. Saya beritahu Ketua Jabatan, sekarang masa untuk bertindak," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.
Mohd Yusoff memberitahu, pihaknya sebelum ini turut mengambil langkah pencegahan termasuk mencadangkan pertukaran anggota yang dikenal pasti mempunyai risiko terlibat dalam salah laku.
Katanya, cadangan tersebut dikemukakan kepada Bukit Aman yang mempunyai kuasa mengeluarkan arahan pertukaran selain turut mengeluarkan surat teguran sebagai usaha membendung salah laku.
"Kadang-kadang apabila kita dapat maklumat, kita cadangkan pertukaran untuk menyelamatkan mereka. Pertukaran itu bukan saya yang buat, saya hanya mencadangkan dan Bukit Aman yang mengeluarkan arahan.
"Tetapi sekarang sudah tiada lagi peluang. Kita akan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggota yang terlibat," katanya.