CYBERJAYA – [DIKEMAS KINI] Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyokong cadangan supaya skim perkhidmatan pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia ditambah baik dan berharap ia diberi pertimbangan oleh kerajaan.
Beliau berkata, permohonan yang dikemukakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu wajar dipertimbangkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Menurutnya, sebagai individu yang pernah mengendalikan pelbagai isu berkaitan Jabatan Imigresen, beliau memahami keperluan memperkukuh skim perkhidmatan pegawai agensi berkenaan.
"Saya amat bersetuju bahawa permintaan oleh Menteri Dalam Negeri tadi sewajib dan sewajarnyalah dapat pertimbangan daripada KSN dan juga KPPA.
Terdahulu, Saifuddin memohon pertimbangan kerajaan untuk menambah baik skim perkhidmatan pegawai penguat kuasa Imigresen bagi memastikan pembangunan organisasi dan modal insan jabatan itu bergerak seiring dengan tanggungjawab yang semakin mencabar.
Ketika ini skim pegawai Imigresen membabitkan gred KP1 hingga KP14.
Beliau berkata, beban yang dipikul Jabatan Imigresen hari ini jauh berbeza berbanding satu abad atau beberapa dekad lalu apabila fungsinya semakin rencam, termasuk dalam aspek keselamatan, kemakmuran dan daya saing negara.
Menurutnya, selain menguruskan kemasukan dan keberadaan warga asing, Jabatan Imigresen turut memainkan peranan dalam meningkatkan daya saing ekonomi negara melalui sistem penyampaian yang cekap, di samping berkait rapat dengan isu keselamatan, hak asasi manusia, politik pilihan raya, pengurusan pendatang asing tanpa izin, depot imigresen serta pelarian.
"Jabatan Imigresen saya telah diberi faham sedang melaksanakan pelbagai usaha untuk memperkukuh organisasinya, yang kritikal terutama selepas salah satu fungsi diambil alih oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
"Antara cadangan yang diutarakan termasuk cadangan penambahbaikan skim perkhidmatan penguat kuasa Imigresen.
"Tolong tengok-tengokkan terutama skim perkhidmatan penguat kuasa Imigresen," katanya sambil merujuk kepada KSN dan KPPA yang turut hadir pada majlis berkenaan.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, prestasi cemerlang Imigresen sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini membuktikan keupayaan agensi itu menyesuaikan diri dengan tuntutan semasa.
Menurutnya, antara pencapaian membanggakan ialah pasport Malaysia kini berada pada kedudukan ketiga paling berkuasa di dunia, selain proses pengeluaran pasport yang hanya mengambil masa kira-kira satu jam, antara yang terpantas di dunia.
Beliau berkata, Jabatan Imigresen turut berjaya mencatat kutipan hasil melebihi RM5.2 bilion pada 2025 sekali gus mengekalkan prestasi mengutip hasil melebihi RM5 bilion bagi tiga tahun berturut-turut.
"Setakat Jun tahun ini pula, kita telah mengutip RM2.6 bilion dan saya percaya menjelang hujung tahun kita sekali lagi akan melepasi angka kutipan tersebut," katanya.