Negara melabur pembangunan modal insan tidak akan ketinggalan - Sultan Nazrin

Iklan
Sultan Nazrin berkenan menyampaikan titah pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) ke-8 bertemakan “Setiap insan dihargai: Kemuliaan dan Perpaduan dalam Islam” (Everyone Matters: Pride and Unity in Islam) pada Selasa. Foto Bernama

IPOH - Negara yang melabur secara bersungguh-sungguh dalam pembangunan modal insan akan lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan dan tidak akan ketinggalan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, dunia kini berdepan perubahan besar yang dipacu oleh automasi, perubahan iklim serta ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi sekali gus memerlukan sistem pendidikan yang lebih dinamik dan relevan.

Iklan
Iklan

Menurut baginda, usaha memperkukuh pendidikan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pembinaan lebih banyak sekolah atau universiti, sebaliknya melibatkan pembaharuan kandungan serta pendekatan pembelajaran.

"Pendidikan perlu memperkukuh penguasaan sains dan matematik tanpa meminggirkan bidang kemanusiaan dan seni, memperkasa literasi digital di samping terus memupuk budaya membaca, berfikir secara rasional dan membentuk nilai moral.

Iklan

"Pada masa sama, pendidikan teknikal dan latihan vokasional perlu diletakkan pada kedudukan yang sama penting dengan laluan akademik supaya setiap pilihan kerjaya diberikan penghormatan yang sewajarnya," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah ucaptama sempena Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) ke-8 2026 di sini pada Selasa.

Iklan

Sultan Nazrin bertitah, pendidikan merupakan asas membentuk potensi insan dan saluran paling berkesan untuk mengubah kehidupan seseorang terutama dalam membantu golongan kurang berkemampuan keluar daripada belenggu kemiskinan.

Menurut baginda, sesebuah negara yang membiarkan mutu pendidikan ditentukan oleh faktor tempat tinggal, kedudukan ekonomi atau hubungan tertentu sebenarnya menafikan hak rakyat untuk menikmati peluang yang saksama.

Baginda turut menegaskan bahawa pendidikan berperanan sebagai medan awal membina perpaduan apabila anak-anak daripada pelbagai latar belakang dapat belajar bersama serta menghargai kepelbagaian kaum dan budaya.

Dalam pada itu, baginda mengingatkan bahawa sistem pendidikan perlu segera menyesuaikan diri dengan era kecerdasan buatan (AI) kerana pendekatan pembelajaran yang terlalu bergantung kepada hafalan dan peperiksaan standard tidak lagi memadai.

Sebaliknya, titah baginda, generasi muda perlu diperkasakan dengan kemahiran berfikir secara kritis, membuat pertimbangan beretika, berkreativiti dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan, iaitu nilai insaniah yang tidak mampu digantikan oleh AI.

Sultan Nazrin turut menekankan kepentingan merapatkan jurang pendidikan agar setiap anak tanpa mengira tempat kelahiran, latar belakang keluarga atau kedudukan ekonomi mendapat akses kepada guru berkualiti, bilik darjah yang selamat serta kurikulum yang membuka peluang kepada masa depan lebih cerah.