KOTA BHARU - Polis Kelantan mewajibkan semua 56 ketua balai polis di seluruh negeri menangkap seorang penagih dadah setiap hari.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pendekatan yang mula dilaksanakan pada 15 Julai lalu itu merupakan pelan strategik baharu bagi memperkukuh usaha membanteras penyalahgunaan dadah di negeri ini.
"Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah pula tangkap pengedar dadah manakala Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK buru tokan besar atau sindiket," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.
Menurut beliau, jika ketua balai gagal mengetahui berapa ramai penagih di kawasan jagaan mereka, bermakna mereka tidak menjalankan tugas.
Mohd Yusoff memberitahu, pihaknya akan mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana anggota yang gagal mencapai sasaran ditetapkan.
Ujarnya, pelan strategik baharu itu turut menyusun semula fungsi setiap peringkat pasukan supaya usaha membanteras dadah menjadi lebih berfokus dan berkesan.
"Sebelum ini semua peringkat pasukan mengejar sasaran tangkapan harian sehingga pegawai narkotik di daerah tidak mempunyai masa mencukupi untuk menjalankan risikan terhadap rangkaian pengedaran dadah.
"Kita mahu kerat akar umbi kegiatan ini. Apabila tugas dibahagikan dengan jelas, pegawai mempunyai lebih banyak masa untuk menjalankan risikan terhadap sindiket pengedaran dadah," katanya.
Menurut beliau, pelan strategik itu akan dinilai selepas tiga bulan pelaksanaannya menerusi proses semakan dan bedah siasat bagi mengukur keberkesanannya.
Ujarnya, sasaran terdahulu menetapkan 85 tangkapan penagih sehari di seluruh Kelantan, namun purata tangkapan hanya sekitar 60 orang sehari.
"Saya percaya kelemahannya bukan pada operasi, tetapi pada kaedah yang digunakan. Dengan pelan strategik baharu ini, saya yakin sasaran yang ditetapkan mampu dicapai.
"Bukan ketua balai sahaja, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) juga diberikan sasaran tertentu. Mereka bukan sekadar meronda, sebaliknya perlu lebih banyak membuat pemeriksaan terhadap kenderaan yang mencurigakan bagi meningkatkan pencegahan jenayah dan mengesan penagih," katanya.