DEMAM bola sepak sering membawa keterujaan luar biasa kepada jutaan penyokong di seluruh dunia. Ada yang sanggup berjaga hingga awal pagi, mengambil cuti semata-mata mahu menyaksikan perlawanan pasukan pilihan, malah tidak berkira berbelanja untuk mendapatkan tiket, jersi dan pelbagai barangan rasmi.
Minat terhadap bola sepak bukanlah sesuatu yang salah. Sebagai sukan paling popular di dunia, ia menyatukan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang. Namun, keterujaan itu perlu sentiasa berpada-pada dan tidak melangkaui batas kewarasan.
Malangnya, terdapat segelintir individu yang terlalu taasub sehingga sanggup mempertaruhkan perkara yang tidak sepatutnya dijadikan bahan gurauan atau pertaruhan, termasuk ikatan perkahwinan.
Itu lah yang berlaku baru-baru ini apabila tular tindakan seorang suami yang didakwa menjadikan lafaz talak sebagai taruhan dalam perlawanan bola sepak antara Argentina dan Sepanyol.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads, seorang wanita buntu selepas suaminya membuat pertaruhan bersama rakannya dengan meletakkan syarat dia akan menceraikan isterinya dengan talak tiga sekiranya Argentina tewas.
Besar benar kesilapan apabila lafaz talak yang sepatutnya menjadi perkara serius dalam rumah tangga boleh dijadikan bahan permainan.
Dalam Islam, talak bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan bahan gurauan, ugutan atau taruhan. Ia adalah lafaz yang membawa implikasi besar terhadap institusi keluarga, malah boleh mengubah kehidupan suami, isteri dan anak-anak dalam sekelip mata jika dilafazkan dengan syarat yang memenuhi hukum.
Sebuah perlawanan bola sepak mungkin berakhir selepas 90 minit, tetapi luka dalam keluarga akibat perpisahan boleh mengambil masa yang panjang untuk dipulihkan.
Lebih membimbangkan, tindakan sedemikian menggambarkan bagaimana hiburan kadangkala mengatasi pertimbangan akal dan tanggungjawab. Sesuatu yang sepatutnya menjadi sumber kegembiraan akhirnya membawa risiko kepada perkara yang jauh lebih besar nilainya.
Perkara ini juga menjadi peringatan bahawa masyarakat perlu lebih berhati-hati dalam mengawal emosi, terutama ketika terlibat dengan sesuatu yang membangkitkan semangat atau fanatisme.
Minat terhadap sukan, hiburan atau mana-mana pasukan tidak menjadi kesalahan. Namun, apabila ia mendorong seseorang membuat keputusan yang boleh menjejaskan agama, keluarga dan masa depan, sudah tiba masanya untuk bermuhasabah.
Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Perahu yang tersasar masih boleh diperbetulkan, tetapi kata-kata yang telah dilafazkan, khususnya berkaitan talak, mungkin membawa akibat besar yang tidak mudah dipadamkan.
Bola sepak seharusnya kekal sebagai medium hiburan yang menyatukan masyarakat, bukannya menjadi punca perpecahan atau meruntuhkan institusi keluarga.
Semangat menyokong pasukan kesayangan biarlah diraikan secara matang, tanpa mempertaruhkan perkara yang paling berharga dalam kehidupan.