BANDAR SUNWAY – Seramai 184 peserta memeriahkan Kejohanan Boling Bersama PBT dan Media 2026 di Sunway Megalanes, Sunway Pyramid di sini pada Ahad.
Program anjuran Bahagian Alam Sekitar Kumpulan Syarikat Worldwide Holdings Berhad (WHB) itu melibatkan 46 pasukan daripada agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah serta organisasi media.
Ketua Pegawai Operasi Alam Sekitar Worldwide Environment, Danial Liew berkata, kejohanan tersebut mencerminkan komitmen WHB dalam menghargai hubungan yang terjalin bersama pihak berkepentingan.
“Platform seperti ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah membuka ruang untuk memperkukuh persefahaman dan kerjasama.
“Hubungan tersebut penting dalam menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif pengurusan alam sekitar di Selangor,” katanya.
Menurut Danial, hubungan kukuh antara syarikat dengan pihak berkepentingan menjadi antara elemen penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan lebih berkesan.
“Kami berharap semangat kerjasama yang dipupuk menerusi program ini dapat diteruskan demi manfaat bersama,” ujarnya.
Kejohanan tahunan berkenaan menjadi platform riadah bagi menggalakkan gaya hidup sihat, selain mengeratkan hubungan profesional dan memperluas jaringan kerjasama antara peserta.
Antara agensi yang mengambil bahagian ialah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN) dan Jabatan Alam Sekitar Selangor.
Penyertaan turut melibatkan Indah Water Konsortium (IWK), Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Perhutanan Selangor dan TNB Single Buyer.
Organisasi media yang mengambil bahagian pula terdiri daripada Harian Metro, RTM, MalaysiaGazette, Sinar Harian, TV Selangor dan Selangorkini.
Dalam kejohanan itu, MBDK Bowlers dari Majlis Bandaraya Diraja Klang menjuarai kategori berpasukan dengan catatan 2,448 jatuhan pin.
Pasukan Selfire dari Jabatan Bomba menduduki tempat kedua selepas merekodkan 2,006 jatuhan pin, diikuti JPSPKP Majlis Perbandaran Kuala Langat di tempat ketiga dengan 1,933 jatuhan pin.
Bagi kategori individu lelaki, Mohd Arif daripada MBDK Bowlers muncul juara dengan catatan 696 jatuhan pin, manakala Diana daripada Sinar Harian Angels mengungguli kategori wanita dengan 603 jatuhan pin.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pengarah JKR Selangor, Ir Shukri Ishak; Pegawai Daerah Gombak, Nor Azlina Abdul Aziz dan Ketua Komunikasi Korporat dan Kelestarian WHB, Raja Farah Diba Raja Abdul Rashid.
Penganjuran itu merupakan antara inisiatif tahunan WHB dalam memperkukuh sinergi dengan pihak berkepentingan bagi menyokong penyampaian perkhidmatan pengurusan alam sekitar yang mampan dan berkualiti.