Calon wanita PKR mahu bawa perubahan di Gemas

Iklan
Siti Aishah (tengah) ketika meninjau gerak kerja sempena kempen beliau di Bilik Gerakan Utama N34 DUN Gemas pada Isnin.

TAMPIN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas, Siti Aishah Seman @ Othman mengakui pernah berdepan persepsi negatif apabila memilih untuk aktif dalam politik lebih dua dekad lalu kerana ketika itu penglibatan wanita dalam politik masih dianggap luar biasa.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Malaya itu berkata, beliau mula aktif dalam politik sekitar tahun 2000 selepas menamatkan pengajian dan menjalankan perniagaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika itu tidak ramai wanita di Gemas berani tampil ke hadapan dalam arena politik, namun cabaran tersebut menjadi pemangkin untuk terus memperjuangkan suara masyarakat terutamanya wanita.

"Saya bermula daripada bawah. Dahulu wanita dalam politik di Gemas dianggap janggal, tetapi saya menerima cabaran itu dan terus bergerak sehingga diberikan pelbagai amanah dalam parti," katanya ketika ditemui sempena kempen di Bilik Gerakan Utama N34 DUN Gemas, di sini, Isnin.

Iklan

Beliau berkata, perjalanan politiknya bermula sebagai ahli biasa PKR pada 2018 sebelum dilantik sebagai Ketua Wanita Cabang dan seterusnya memegang jawatan Timbalan Ketua Wanita PKR Negeri Sembilan bagi sesi 2022 hingga 2025.

Selain itu, ibu kepada empat cahaya mata berusia antara 22 hingga 28 tahun itu juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Penyelaras DUN Gemas dari tahun 2021 hingga tahun 2023.

Iklan

Mengulas pencalonannya, Siti Aishah mengakui sedikit gementar kerana ia merupakan kali pertama beliau dipilih mewakili PH dalam pilihan raya.

"Sudah tentu ada rasa gementar, tetapi semangat dan sokongan daripada pimpinan parti berjaya mengatasi perasaan itu," ujarnya.

Beliau turut menyifatkan pencalonannya sebagai satu penghormatan memandangkan hanya dua wanita diketengahkan PKR untuk bertanding bagi PH di Negeri Sembilan.

"Sudah tentu kawasan yang diwakili calon wanita akan menjadi perhatian pimpinan pusat dan negeri. Kami mahu buktikan wanita juga mampu mencatat keputusan cemerlang," katanya.

Mengenai strategi kempen, beliau berkata, pendekatan turun padang dari rumah ke rumah menjadi keutamaan bagi mendengar sendiri keluhan serta harapan rakyat.

Menurutnya, kaedah bersemuka itu penting bagi memahami keperluan sebenar pengundi tanpa bergantung kepada laporan semata-mata.

Beliau berkata, antara isu utama yang dibangkitkan penduduk ialah kos sara hidup, terutama membabitkan peneroka Felda di Gugusan Jelai.

"Ramai peneroka sedang melalui proses tanam semula kelapa sawit dan ketika ini mereka belum memperoleh hasil. Mereka mengharapkan bantuan sara hidup bagi meneruskan kehidupan sementara menunggu pokok mengeluarkan hasil," katanya.

Selain isu Felda, beliau berkata, golongan wanita, belia dan warga emas juga perlu terus diberikan perhatian supaya tidak tercicir daripada menikmati pelbagai inisiatif kerajaan.

Siti Aishah berkata, pengalamannya menetap di Gemas hampir 29 tahun memberi kelebihan kerana beliau memahami latar belakang serta keperluan masyarakat setempat.

"Saya tinggal, bekerja dan membesarkan keluarga di Gemas. Sebab itu saya mengenali ramai penduduk di sini dan mereka juga mengenali saya," katanya.

Beliau berharap pengundi memberikan kepercayaan kepada PH bagi membolehkan lebih banyak perubahan dan pembangunan dapat dibawa ke Gemas.

"Harapan saya mudah, saya mahu melihat Gemas berubah ke arah yang lebih baik. Saya berharap pengundi memberi sokongan kepada calon PH dan bersama-sama memastikan Gemas mencapai kemenangan," katanya.