Penghantar makanan didakwa amang seksual fizikal anak tiri, ugut mahu cederakan anggota polis

Iklan
Tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Isnin.

MELAKA – Seorang penghantar makanan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Isnin atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri perempuannya yang berusia 13 tahun enam bulan dalam kejadian pada minggu lalu.

Tertuduh yang berusia 32 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Iklan
Iklan

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Rif’ah Izzati Abdul Mutalif, memohon satu tarikh baharu bagi mendapatkan laporan perubatan selain mencadangkan syarat tambahan iaitu tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta dikenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Iklan

Bagaimanapun, mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 18 Ogos depan bagi lantikan peguam serta serahan dokumen.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap empat lagi pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Iklan

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap anak saudaranya untuk membakar rumah dan mencederakan ahli keluarga mangsa di lokasi sama pada jam 4.35 petang.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa mengugut dua anggota polis dengan ancaman mahu mencederakan mereka selepas dibebaskan kelak dalam kejadian di Jalan Sungai Putat pada jam 9.30 malam.

Kesemua pertuduhan ugutan itu dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan kata-kata lucah dan mengaibkan di Balai Polis Bukit Baru pada jam 5.30 petang.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan pada hari yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 94 akta yang sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya memaklumkan pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan bagi kesemua pertuduhan tersebut.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kesemua pertuduhan.