[VIDEO] Pegawai imigresen didakwa terima suapan lindungi pekerja asing, masuk akaun ibu

Iklan

MELAKA - Seorang pegawai imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Isnin atas tujuh pertuduhan menerima suapan setiap bulan bagi melindungi seorang pekerja asing yang tidak memiliki dokumen sah antara Januari hingga Julai tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Nazrul Md Yasin, 39, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Nazrul yang merupakan Pegawai Imigresen Negeri Melaka didakwa menerima wang suapan daripada Muhammad Omar, 69 bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil terhadap anaknya, Nurul Alya Muhammad, 23, kerana melindungi seorang pekerja warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dibacakan ke atasnya. Foto: Sinar.

Iklan

Bagi lima pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM300 setiap bulan di sebuah restoran di Merlimau, Jasin bagi tempoh 1 hingga 31 Januari, 1 hingga 15 Februari, 16 hingga 28 Februari, 1 hingga 31 Mac dan 1 hingga 31 Mei 2025.

Bagi pertuduhan keenam dan ketujuh pula, tertuduh didakwa menerima RM300 pada 3 Jun 2025 dan RM150 pada 10 Julai 2025 yang dipindahkan secara dalam talian ke akaun mak tertuduh.

Iklan

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dibacakan ke atasnya. Foto: Sinar.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa'ari memaklumkan kesalahan di bawah seksyen berkenaan merupakan kesalahan serius dan tidak boleh dijamin, namun tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Jika mahkamah mahu membenarkan ikat jamin, beliau mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan selain syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Mohd Nazrul yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah jaminan dikurangkan.

Dalam nada sebak, beliau memaklumkan telah ditahan kerja, merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarga serta menanggung ibunya dan empat anak yang masih bersekolah.

“Saya hanya mampu menyediakan wang jaminan RM5,000 yang dipinjam,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin, selain mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.