KUALA LUMPUR – Saat Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin melepaskan dan membebaskannya daripada tiga pertuduhan bersubahat memperoleh rasuah RM2.8 juta pelakon, Datin Seri Zizie Izette A Samad mengakui individu yang paling diharapkan berada di sisi ialah Allahyarham suaminya, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Dalam nada sebak, Zizie berkata, beliau membayangkan Allahyarham berada di sebelahnya ketika hakim membacakan keputusan yang menamatkan episod perbicaraan yang berlarutan selama tujuh tahun.
Terdahulu, Hakim Rosli Ahmad melepaskan dan membebaskan Zizie Izette, 48, daripada tiga pertuduhan bersubahat dengan arwah suaminya dalam mendapatkan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Sebaik keputusan dibacakan, Zizie Izette dilihat menangis teresak-esak sebelum menekup wajahnya dan ditenangkan oleh ahli keluarga yang hadir di mahkamah.
Zizie Izette berkata, keputusan itu bukan sahaja memberikan kelegaan buat dirinya, malah menjadi penutup kepada episod panjang yang dilaluinya sejak didakwa pada 2019.
"Alhamdulillah, saya amat berterima kasih dan bersyukur atas keputusan mahkamah hari ini. Saya menghormati keputusan Yang Arif serta berterima kasih kepada mahkamah, pasukan peguam, keluarga dan semua yang mendoakan serta menyokong saya sepanjang proses ini," ujarnya.
Menurutnya, sepanjang tujuh tahun berdepan proses mahkamah, beliau memilih untuk memendam segala kesedihan dan tidak berkongsi beban yang ditanggung kepada umum.
"Hanya ALLAH SWT yang tahu. Saya seorang yang tidak suka bercerita atau bercakap mengenai kehidupan dan privasi saya.
Zizie Izette menambah, selepas kes tersebut berakhir, beliau hanya mahu meneruskan kehidupan seperti biasa dan memberi sepenuh perhatian kepada keluarganya.
"Saya mempunyai tanggungjawab yang sangat besar. Saya ada lima orang anak yang perlu saya pikul dan saya kini seorang ibu tunggal.
"Izinkan saya menjalani kehidupan saya seperti biasa," kata beliau.