MV Berkat Tuah: Baki empat rakyat Malaysia terkandas di UAE selamat tiba di tanah air

Iklan
Lima kru kapal MV Berkat Tuah iaitu empat tempatan dan seorang Indonesia berjaya dibawa pulang dan tiba di KLIA Terminal 1 pada Isnin.

PUTRAJAYA – Baki empat rakyat Malaysia yang terkandas di atas kapal MV Berkat Tuah di Pelabuhan Hamriyah, Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak Oktober tahun lalu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9 pagi Isnin.

Kepulangan kumpulan terakhir itu melengkapkan misi membawa pulang kesemua lapan anak kapal warga Malaysia selepas empat kru pertama selamat tiba di tanah air pada 10 April lalu.

Iklan
Iklan

Kementerian Luar Negeri memaklumkan, empat anak kapal berkenaan dibenarkan meninggalkan kapal itu pada 18 Julai hasil libat urus berterusan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai dengan pihak berkuasa Sharjah, bersama Jabatan Laut Malaysia.

"Hasil libat urus berterusan dengan pihak berkuasa Sharjah oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai dan Jabatan Laut Malaysia, empat orang anak kapal warganegara Malaysia tersebut telah dibenarkan turun daripada kapal berkenaan pada 18 Julai 2026," menurut kenyataan kementerian pada Isnin.

Iklan

MV Berkat Tuah dilaporkan terkandas di Pelabuhan Hamriyah sejak Oktober tahun lalu susulan pertikaian komersial yang menghalang proses pertukaran kru, menyebabkan anak-anak kapal terpaksa berada lebih lama di atas kapal sementara menunggu penyelesaian.

Sepanjang tempoh itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai mengadakan beberapa lawatan konsular bagi memastikan kebajikan dan keselamatan anak-anak kapal sentiasa terpelihara.

Iklan

Pada masa sama, perwakilan diplomatik Malaysia turut berunding dengan pihak berkuasa Sharjah serta menyelaras usaha bersama Jabatan Laut Malaysia dan pihak berkaitan bagi mempercepatkan proses membawa pulang mereka.

Kerajaan Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan UAE atas bantuan dan kerjasama yang diberikan dalam menguruskan kepulangan anak-anak kapal itu dengan selamat.

Kementerian berkata, Malaysia menerusi perwakilan diplomatiknya di luar negara akan terus komited memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di luar negara sentiasa diberi perhatian dan dipelihara.