TOKYO - Pasaran hartanah Jepun kini menyaksikan kemunculan satu pekerjaan baharu yang unik iaitu penghuni rumah berhantu berbayar.
Pemilik hartanah sanggup membayar individu berani sebanyak 88,000 yen (RM2,220) untuk bermalam di kediaman yang mempunyai sejarah tragis.
Langkah itu bertujuan membuktikan kepada bakal pembeli dan penyewa yang ragu-ragu bahawa rumah berkenaan selamat daripada sebarang gangguan paranormal.
Perkhidmatan itu diwujudkan bagi mengembalikan minat terhadap ribuan hartanah dikenali sebagai 'jiko bukken' atau hartanah berstatus tercemar yang kini terbiar akibat kebimbangan pembeli terhadap sejarah buruk dan unsur mistik.
'Jiko bukken' merujuk kepada rumah yang pernah berlaku kematian disebabkan kejadian pembunuhan, bunuh diri, kebakaran atau apabila seseorang warga emas meninggal dunia bersendirian.
Undang-undang Jepun mewajibkan ejen hartanah mendedahkan sejarah tersebut kepada bakal pembeli atau penyewa menyebabkan ramai keberatan untuk berpindah ke kediaman berkenaan.
Situasi itu membuka peluang kepada 'penghuni sementara' bermalam untuk menawarkan khidmat mereka sambil memantau keadaan menggunakan kamera dan pelbagai peralatan lain.
Jika tiada kejadian luar biasa berlaku, mereka akan mengeluarkan sijil yang mengesahkan tiada aktiviti paranormal dikesan.
Sesetengah syarikat turut menawarkan pampasan sekiranya gangguan paranormal dapat dibuktikan selepas sesebuah hartanah itu diisytiharkan bebas daripada unsur tersebut.
Perkhidmatan itu semakin mendapat perhatian ketika Jepun berdepan peningkatan jumlah rumah kosong di seluruh negara.
Selain itu, peningkatan populasi warga emas, kadar kelahiran yang menurun dan penghijrahan penduduk ke bandar menyebabkan jutaan kediaman tidak berpenghuni.
Hartanah berstatus tercemar pula sering dibiarkan kosong selama bertahun-tahun dan biasanya dijual atau disewakan pada harga diskaun antara 20 hingga 50 peratus berbanding kediaman lain yang setara. - Agensi