Penyewa dari neraka tinggalkan 60 kucing dalam rumah sampai mati

Iklan
Pemeriksaan mendapati kira-kira 30 bangkai kucing ditemui dalam rumah yang ditinggalkan sebuah keluarga. - Foto: FB Wan KomiKimi

KUALA LUMPUR – Kira-kira 30 bangkai kucing ditemukan dalam sebuah rumah di Gombak pada Jun lalu, manakala 30 lagi berjaya diselamatkan dalam keadaan lemah selepas ditinggalkan pemiliknya.

Usaha menyelamat dijalankan pencinta haiwan, Nor Izwan Asli, 43, bersama isterinya, Ernani Hamis, 41, selepas menerima panggilan yang memaklumkan terdapat bau busuk yang kuat dari rumah teres berkenaan selepas penyewa dipercayai menghilangkan diri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemilik rumah kemudian dihubungi untuk membuka pintu kediaman itu sebelum mereka dikejutkan dengan penemuan yang menyayat hati di dalam rumah terbabit.

"Keadaan di dalam rumah sangat teruk. Bangkai kucing bertaburan di merata tempat, lantai dipenuhi darah dan kutu.

Iklan

"Banyak kucing mati di dalam sangkar. Lebih menyedihkan, terdapat kucing bunting serta anak-anak kucing yang turut ditemukan mati," katanya ketika berkongsi kejadian itu di Facebook miliknya, Wan KomiKimi.

Kucing-kucing yang terselamat dibawa balik untuk diberikan rawatan dan makanan. Foto: FB Wan KomiKimi

Iklan

Katanya, 30 ekor kucing yang masih hidup pula berada dalam keadaan kurus dan lemah dipercayai sudah lama tidak diberikan makanan.

"Saya dimaklumkan mereka dipercayai meninggalkan rumah kerana tidak lagi mampu membayar sewa sejak tiga bulan lalu.

"Selepas berbincang dengan isteri, kami membuat keputusan membawa pulang semua kucing yang masih hidup untuk diberikan rawatan dan penjagaan.

"Kami bukan orang senang, tetapi tidak sampai hati melihat keadaan haiwan-haiwan itu," katanya.

Pada masa sama, dia turut menasihatkan pemilik rumah supaya membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan serta lebih berhati-hati ketika memilih penyewa pada masa hadapan.

"Semua bangkai kucing kami kumpulkan dan ditanam, manakala haiwan yang lain akan dirawat.

"Kami akan buat yang terbaik untuk kucing-kucing yang masih hidup ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Nor Izwan turut mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai bagi membantu menampung kos rawatan, makanan dan penjagaan kucing-kucing tersebut.